Pulau Pinang sasar jadi negeri tanpa tunai Mac ini
Bernama
Januari 3, 2020 00:12 MYT
Januari 3, 2020 00:12 MYT
Kerajaan Pulau Pinang menyasarkan untuk mengadaptasi sepenuhnya transaksi e-dompet di seluruh negeri pada Mac ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif itu selaras dengan program e-Tunai Rakyat oleh kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan dari 15 Jan hingga 14 Mac tahun ini, yang menggalakkan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Saya menyokong penuh usaha ini dan saya ingin menggalakkan setiap penduduk Pulau Pinang untuk menjalani gaya hidup tanpa tunai dan saya tidak sabar untuk melihat berapa lama diperlukan Pulau Pinang untuk mencapai tahap optimum untuk menjadi masyarakat tanpa tunai," katanya ketika berucap pada program e-dompet Touch 'n Go (TNG), di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn Bhd Ignatius Ong yang turut menghadiri program itu berkata TNG akan memperkenalkan secara agresif transaksi tanpa tunai di pelbagai bazar, pasar malam serta perusahaan kecil dan sederhana di Pulau Pinang dan berharap negeri lain akan mencontohi transformasi tanpa tunai itu.
Beliau berkata kira-kira 120,000 vendor telah mengadaptasi e-dompet TNG di seluruh negara setakat ini dan menyasarkan untuk menggandakan jumlah itu menjelang akhir tahun.
-- BERNAMA