Pulau Pinang sambut penerbangan terus pertama Juneyao Airlines dari Shanghai ke Malaysia

Bernama
Jun 1, 2024 16:30 MYT
Penerbangan itu mendarat pada 10.54 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. - Foto FB Wong Hon Wai
GEORGE TOWN: Sempena 50 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, Pulau Pinang meraikan ketibaan penerbangan terus pertama dari Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong yang dikendalikan Juneyao Airlines.
Penerbangan itu mendarat pada 10.54 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan disambut dengan tabik hormat pancuran air sebagai simbolik ucapan mesra selamat datang sekali gus menandakan kemasukan sulung Juneyao Airlines ke Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata penerbangan terus dari Shanghai ke Pulau Pinang akan menarik lebih ramai pelancong untuk menerokai negeri ini dan seterusnya membangunkan lagi industri pelancongan tempatan.
"Pelbagai sektor industri pelancongan Pulau Pinang seperti hotel, restoran, peruncitan dan hiburan akan meraih manfaat besar. Kedatangan pelancong dari wilayah timur China akan membawa lebih banyak peluang perniagaan dan pertumbuhan ekonomi, seterusnya memacu industri pelancongan Pulau Pinang ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, Wong berkata penerbangan terus itu juga akan menjadi laluan penting bagi pengembara perniagaan dari wilayah timur China selain meningkatkan salinghubungan dan potensi kerjasama antara kedua-dua tempat.
Beliau juga menekankan bahawa penerbangan itu turut mempromosikan hubungan ekonomi, membuka peluang baharu untuk perniagaan, peluang pelaburan dan kerjasama korporat, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang dan Shanghai.
Wong berkata ketika ini, pesawat Airbus A320neo berkapasiti 180 penumpang dan masa perjalanan kira-kira lima jam 30 minit, beroperasi empat kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.
Bagaimanapun beliau berkata Juneyao Airlines telah mengumumkan bahawa kekerapan penerbangan akan ditingkatkan kepada penerbangan harian bermula 22 Jun ini.
Shanghai-Pulau Pinang merupakan penerbangan terus antarabangsa ketiga ke Pulau Pinang dilancarkan tahun ini selepas pelancaran penerbangan terus dari Dubai oleh Flydubai pada Februari dan dari Bangkok oleh Thai Lion Air pada April.
Pulau Pinang menerima kedatangan 22,420 pelancong dari China dalam tiga bulan pertama tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 370.22 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas yang hanya mencatatkan 4,768 pelancong.
Setakat ini termasuk Shanghai, Pulau Pinang mempunyai penerbangan terus ke 15 bandar antarabangsa iaitu Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Dubai, Singapura, Bangkok, Phuket, Medan, Jakarta, Surabaya, Banda Aceh, Taipei, Ho Chi Minh City dan Haikou (penerbangan sewa khas) manakala penerbangan terus ke Shenzhen dijadualkan bermula 27 Julai ini.
-- BERNAMA
#pulau pinang #hubungan diplomatik Malaysia-China #Juneyao Airlines #Lapangan Terbang Antarabangsa Shanghai Pudong #Wong Hon Wai
;