Pulau Pinang promosi pelancongan dalam bahasa Arab untuk pasaran Asia Barat
Bernama
April 12, 2023 09:30 MYT
April 12, 2023 09:30 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang melancarkan buku kecil dan risalah pelancongan terbarunya dalam bahasa Arab untuk mempromosikan negeri itu sebagai destinasi pilihan untuk pelancongan dan pelaburan dari rantau Asia Barat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, memandangkan lebih ramai warga negara-negara Asia Barat keluar ke luar negara untuk tujuan melancong dan perniagaan, maka kempen dan inisiatif perlu dibangunkan untuk menerokaI pasaran rantau itu.
"Asia Barat adalah sumber pelancongan yang semakin berkembang di banyak negara dan saya anggap ia juga salah satu pasaran penting yang harus menjadi sasaran kita.
"Sebelum pandemik COVID-19, pada 2019, Malaysia menerima kira-kira 400,000 pengunjung dari Asia Barat. Namun, kita dapat lihat tidak banyak perhatian diberikan kepada pasaran ini sebelum ini.
"Oleh itu, saya ingin meningkatkan usaha untuk meneroka pasaran ini," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Buku Kecil dan Risalah versi Bahasa Arab, di sini, hari ini.
Katanya, pelancong Asia Barat merekodkan perbelanjaan per kapita tertinggi dan Malaysia mendahului senarai destinasi percutian mesra Muslim terbaik untuk pelancong Muslim, menurut Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI) Mastercard-Crescent 2022.
Pulau Pinang juga mahu membangunkan negeri ini sebagai destinasi pelancongan halal pilihan untuk menarik pelancong dari Asia Barat, katanya.
"Adalah menjadi visi saya untuk menerokai pasaran ini dan mencipta pengalaman perjalanan yang tidak dapat dilupakan untuk pelawat Asia Barat kami, sekali gus melibatkan kerjasama rapat dengan perniagaan tempatan, hotel dan agensi pelancongan untuk menyediakan pengalaman, penginapan dan tarikan mesra halal yang lebih berkualiti.
"Menggamit kehadiran pelancong dari rantau tersebut pastinya akan membawa manfaat ekonomi yang ketara kepada Pulau Pinang," katanya.
Yeoh berkata, pelancongan halal telah menyediakan peluang baharu kepada perniagaan di Pulau Pinang untuk memenuhi keperluan khusus pengembara Islam, mewujudkan pasaran khusus untuk produk dan perkhidmatan halal.
"Dengan menyediakan pengalaman mesra halal dan tersuai kepada pelancong Muslim, saya menaruh harapan tinggi agar kami dapat mewujudkan penerbangan terus dari rantau Asia Barat.
"Saya telah mengambil inisiatif untuk melibatkan diri dengan pelbagai syarikat penerbangan di rantau ini untuk membincangkan prospek ketersambungan udara," katanya.
Buku kecil perdagangan bahasa Arab memaparkan maklumat padat tentang Pulau Pinang, daripada senarai tarikan dan penginapan kepada butiran aktiviti yang boleh dijalankan dalam sektor Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) dan Perniagaan kepada Pengguna (B2C). - BERNAMA