Pulau Pinang pinjam 200,000 dos vaksin pertama dari Selangor
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 26, 2021 13:29 MYT
Ogos 26, 2021 13:29 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang meminjam 200,000 dos vaksin dari Selangor bagi membolehkan rakyat negeri itu yang masih belum menerima suntikan vaksin COVID-19 pertama dapat disegerakan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri Dr Norlela Ariffin berkata, setakat ini 225,226 orang dari populasi dewasa di negeri itu belum menerima suntikan imunisasi pertama COVID-19.
Norlela berkata, pihaknya bersyukur apabila permohonan negeri untuk meminjam 200,000 dos vaksin itu diluluskan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari semalam.
Beliau berkata dengan adanya dos tersebut, sasaran negeri untuk mencapai 100 peratus populasi dewasa mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin pada akhir bulan ini atau minggu pertama bulan hadapan akan berhasil.
Sehingga kini, kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pulau Pinang memberikan suntikan vaksin sehingga 47,000 dos sehari.
Norlela berkata, Pulau Pinang sebelum itu menerima 300,000 dos vaksin kedua dari Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) dan bukan dos pertama.
Justeru katanya, Pulau Pinang akan memulangkan semula dos kedua ini selepas ia diluluskan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta CITF.
Dalam pada itu, Norlela berkata, kira-kira 76,000 individu di daerah Seberang Perai Tengah yang menjadi pusat perebakan di negeri ini belum divaksin, manakala sekitar 80,000 pekerja di daerah itu yang mendaftar dengan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) juga belum menerimanya.
70 peratus daripada jangkitan COVID-19 dan kadar kebolehjangkitan (RO) di negeri itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 adalah daripada tempat kerja termasuk kilang.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Khamis.