Pulau Pinang peruntuk RM1 juta imarahkan masjid

Bernama
April 6, 2022 04:30 MYT
Chow beramah mesra dengan orang ramai ketika hadir pada Majlis Iftar Rakyat Peringkat Negeri Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir, Bukit Mertajam, 6 Apr 2022. -- fotoBERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM1 juta tahun ini untuk program pengimarahan masjid di seluruh negeri itu, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Beliau berkata dengan peruntukan itu, kerajaan negeri berharap semua institusi berkaitan agama Islam akan terus menyemarakkan semangat harmoni di Pulau Pinang.
"Dengan peruntukan diberi, saya menaruh harapan yang tinggi untuk terus melihat institusi agama Islam terus kekal harmoni dan utuh sekali gus memastikan usaha pembangunan ummah di negeri ini dapat direalisasikan dengan jayanya.
"Selain itu, saya juga berharap institusi masjid di negeri ini dapat kembali menjadi penghubung perpaduan masyarakat khususnya orang Islam di Pulau Pinang," katanya berucap merasmikan Majlis Iftar Rakyat Peringkat Pulau Pinang di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir di sini pada Rabu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil.
Sementara itu, Chow berkata seperti tahun-tahun sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang meneruskan sumbangan Ihya' Ramadan kepada 246 buah masjid dan surau di seluruh negeri dengan peruntukan kali ini berjumlah keseluruhan RM256,000.
Beliau berkata RM5,000 disumbangkan kepada masjid negeri, lima masjid daerah membabitkan RM2,000 setiap masjid manakala RM1,000 masing-masing kepada 207 masjid kariah, 13 masjid jamek dan 19 surau Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berkata dengan beberapa kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan ketika ini, beliau percaya Ramadan kali ini lebih meriah dan bermakna buat semua terutama masyarakat Islam.
"Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya mengambil peluang untuk beriftar bersama masyarakat kerana saya percaya budaya ini akan mengeratkan lagi hubungan sesama kita tanpa mengira agama dan bangsa," katanya.
-- BERNAMA
#pulau pinang #RM1 juta #imarah masjid #Chow Kon Yeow
;