Pulau Pinang pertikai projek PSR tidak dapat kebenaran

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 1, 2021 20:39 MYT
Zairil berkata, PSR bukan projek besar jika dibandingkan dengan projek tambakan laut di Johor dan Melaka yang berskala mega. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang menyifatkan keputusan Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengetepikan kelulusan bagi laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) sebagai satu ketidakadilan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, ini kerana PSR yang dirancang di negeri itu bukan projek besar jika dibandingkan dengan projek tambakan laut di Johor dan Melaka yang berskala mega.
Justeru, menurut Zairil, kerajaan negeri hairan mengapa projek di negeri itu tidak mendapat kelulusan sedangkan projek sama di negeri lain sudah diluluskan.
Malah beliau turut menyifatkan alasan yang diberikan Lembaga Rayuan JAS ketika mengetepikan kelulusan EIA PSR sebelum ini langsung tidak boleh diterima.
"Kerajaan negeri pun amat hairan kenapa PSR dimangsakan dengan begitu, walhal kalau kita nak banding projek PSR ini tidaklah terlalu besar... kalau kita nak bandingkan dengan projek-projek tambakan berskala mega yang berlaku di negeri-negeri seperti Johor, Melaka dan kawasan lain.
"Malah alasan yang diberikan dalam pembatalan tersebut sebenarnya tidak boleh diterima langsung... hakikatnya projek PSR telahpun diluluskan dan telah memenuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling.
"Jadi keputusan lembaga rayuan tersebut sebenarnya boleh dianggap sebagai satu ketidakadilan terhadap negeri Pulau Pinang," katanya.
Zairil berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini ketika menjawab soalan tambahan Jason H’ng Mooi Lye (PH-Jawi) mengenai sama ada kerajaan negeri meminta penjelasan lanjut daripada JAS mengapa EIA PSR dibatalkan.
Zairil berkata, kerajaan negeri bukan bermaksud mempertikaikan keputusan yang dibuat Lembaga Rayuan JAS itu malah yakin dengan proses perundangan negara.
Namun katanya, perkara yang dipersoalkan ialah tindakan dwistandard yang sering menjadikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai “mangsa”.
Dalam pada itu, Zairil berkata, kerajaan negeri yakin semakan kehakiman yang dibuat kelak akan memihak kepada kerajaan negeri.
Ini kerana katanya, keputusan JAS ketika mengetepikan EIA sebelum ini bukan dibuat atas dasar kesan kepada kualiti atau persekitaran ekoran projek tersebut sebaliknya lebih kepada isu teknikal.
Pada 8 September lalu, Lembaga Rayuan JAS memutuskan mengetepikan kelulusan EIA bagi projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di perairan selatan (PSR) di Pulau Pinang.
Ia sekaligus menyebabkan kelulusan EIA yang diperoleh pada 25 Jun 2019 terbatal dan tidak lagi sah.
#pulau pinang #PSR #tambakan laut #Zairil Khir Johari
;