Pulau Pinang perlu projek alternatif atasi masalah bekalan air Sungai Muda - Ketua Menteri
Dewi Nur Harasha Alias
Julai 7, 2022 17:29 MYT
Julai 7, 2022 17:29 MYT
BUTTERWORTH: Pulau Pinang memerlukan projek alternatif termasuk mendapatkan bekalan air mentah dari Sungai Perak sebagai persediaan menghadapi situasi luar dugaan seperti kejadian banjir yang menjejaskan kualiti air Sungai Muda, kelmarin.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bekalan air alternatif penting kerana negeri tersebut tidak boleh terlalu bergantung pada bekalan air mentah Sungai Muda untuk dirawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
Menurut beliau, masalah timbul apabila loji berkenaan yang terbesar di Pulau Pinang terpaksa dihentikan operasi sementara kelmarin, akibat kadar kekeruhan air Sungai Muda terlalu tinggi susulan kejadian banjir di Baling, Kedah.
"Untuk jaminan bekalan air sehingga 2050, Pulau Pinang memerlukan bekalan air mentah alternatif dari Sungai Perak di samping Sungai Muda.
"Projek bekalan air mentah Sungai Perak penting tetapi tertangguh sejak 11 tahun lalu. Ia akan menjejaskan rakyat dan ekonomi jika tidak dilaksanakan segera," katanya dalam sidang media di LRA Sungai Dua, hari ini.
Turut sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) Sdn Bhd, Datuk Ir Jaseni Maidinsa.
Kon Yeow mengulas kejadian bekalan air yang terjejas di kebanyakan kawasan bahagian Seberang Perai dan pulau kelmarin berikutan air mentah Sungai Muda tidak boleh diproses kerana terlalu keruh.
Bagaimanapun, kadar pemulihan LRA Sungai Dua sudah mencapai 61 peratus dan dijangka mencapai tahap optimum pukul 10 malam ini.
Susulan itu, bekalan air di daerah Timur Laut hingga Bukit Dumbar dan dari Sungai Pinang hingga pekan Balik Pulau sudah dipulihkan.
Begitu juga dengan daerah Seberang Perai Utara hingga Bukit Minyak sudah beransur pulih.
Sementara itu, Jaseni berkata, kadar kekeruhan air Sungai Muda mencecah 3,007 MTU menyebabkan ia tidak dapat diproses di LRA Sungai Muda, kelmarin dan kini berkurang kepada 700 MTU.
Menurutnya, air simpanan dari Empangan Mengkuang, Bukit Mertajam disalurkan ke LRA Sungai Dua bagi mengurangkan kekeruhan air Sungai Muda sebelum diproses dan disalurkan semula kepada pengguna.
"Rancangan masa depan seperti pemasangan paip baru perlu dilaksanakan di Empangan Mengkuang selain projek Sungai Perak yang dirancang sejak 2009 agar bekalan air ke Pulau Pinang lebih terjamin menjelang 2030.
" Apa yang perlu dilakukan sekarang ialah menjaga sumber air Sungai Muda dan melaksanakan projek bekalan air mentah Sungai Perak," katanya.