Pulau Pinang: Pelancongan kapal persiaran catat pertumbuhan lebih kukuh
Bernama
April 12, 2024 06:30 MYT
April 12, 2024 06:30 MYT
GEORGE TOWN: Status Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan kapal persiaran pilihan telah menarik lebih ramai pelawat sejajar dengan pertumbuhan pesat sektor pelancongan ini selain menjadi lokasi persinggahan menarik kepada kapal persiaran di rantau Asia Tenggara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Wong Hon Wai berkata bilangan tempat berlabuh kapal antarabangsa dan jumlah penumpang terus menunjukkan trend peningkatan untuk Januari dan Februari 2023 serta Januari dan Februari 2024.
"Jumlah kapal antarabangsa yang berlabuh meningkat daripada 31 kepada 45, memperlihatkan kadar pertumbuhan 45.16 peratus sekali gus menyaksikan momentum kemampanan Pulau Pinang dalam menarik kapal persiaran antarabangsa.
"Begitu juga bilangan penumpang menunjukkan peningkatan dalam tempoh ini, meningkat daripada 100,803 kepada 131,208 sekali gus menyaksikan kadar pertumbuhan sebanyak 30.16 peratus," katanya.
Terdahulu, Pulau Pinang pada Jumaat buat julung kali menyambut ketibaan Costa Deliziosa dengan kapasiti 2,828 penumpang dan bakal disusuli oleh Serenade of the Seas dengan muatan 2,500 penumpang pada 26 April dari 9 pagi hingga 6 petang.
Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier di sini turut menawarkan pelancong akses yang mudah ke Tapak Warisan Dunia UNESCO sebaik mendarat, memberikan daya tarikan yang tersendiri dan pengunjung berpeluang mengikuti lawatan selama tujuh hingga lapan jam.
Wong berkata bilangan tempat berlabuh kapal antarabangsa meningkat hampir dua kali ganda iaitu daripada 84 kepada 156 yang menandakan kadar pertumbuhan sebanyak 85.71 peratus dari 2022 hingga 2023.
"Terdapat peningkatan ketara jumlah penumpang antarabangsa dalam tempoh yang sama, menokok daripada 439,012 kepada 573,178, mewakili kadar pertumbuhan sebanyak 30.56 peratus dan angka ini menunjukkan status Pulau Pinang sebagai destinasi pelayaran pilihan dan beransur-ansur mengukuhkan kedudukannya dalam industri," katanya.
Beliau berkata berikutan siapnya kerja-kerja naik taraf Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier baru-baru ini, terminal berkenaan kini mampu memuatkan sehingga dua kapal persiaran bersaiz kuantum dan menampung 12,000 penumpang.
Pulau Pinang juga menjadi satu daripada persinggahan kegemaran kapal persiaran terkenal termasuk Royal Caribbean International, Resort World Cruises, Costa Cruises, Norwegian Cruise Line, Celebrity Cruises, Princess Cruises dan Cunard Line.
-- BERNAMA