Pulau Pinang mungkin dilanda banjir lebih buruk - Pakar saliran
Shafizan Johari, Mohd Dzulfitri Md Yusuf
November 6, 2017 17:37 MYT
November 6, 2017 17:37 MYT
Pakar saliran dari Universiti Sains Malaysia (USM) memberi amaran bahawa banjir yang lebih buruk berkemungkinan besar boleh melanda Pulau Pinang, walaupun kadar taburan hujan tidak setinggi yang dialaminya pada hujung minggu lalu.
Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar USM, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria berkata lumpur dan keladak yang dibawa turun oleh hujan lebat pada hujung minggu lalu sudah menyebabkan semua saliran di Pulau Pinang menjadi sempit dan cetek.
Sambil melahirkan rasa bimbang, beliau berkata situasi itu akan menyebabkan paras air mudah naik hingga berlaku banjir sekiranya negeri itu sekali lagi berhadapan dengan hujan lebat.
Pulau Pinang mencatatkan taburan hujan tertinggi pada 300 ml hujung minggu lalu sekali gus menyebabkan banjir besar di lima daerah di negeri berkenaan.
Beliau turut menjelaskan banjir yang melanda Pulau Pinang pada Ahad adalah banjir kilat dan bukan banjir monsun seperti yang diperkatakan orang ramai.
"Banjir yang berlaku di Pulau Pinang pada hujung minggu lalu adalah banjir kilat berskala besar dan bukanlah banjir monsun seperti yang biasa berlaku di Pantai Timur.
“Ekoran kesan buruk, ramai yang menganggap apa yang terjadi di Pulau Pinang adalah sebahagian daripada monsun walaupun ianya hanya banjir kilat," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Tambahnya pembangunan yang tidak terkawal dan terancang memburukkan lagi kemampuan Pulau Pinang untuk menampung jumlah taburan hujan yang tinggi.
Rekod Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyebut Pulau Pinang sudah dilanda 119 banjir kilat sejak 2013.
Sementara itu Setiausaha DAP Pulau Pinang Lim Hui Ying menerusi kenyataan medianya memberi bayangan banjir sudah surut dan tumpuan kini terarah kepada usaha pembersihan.
"Dari tinjauan di lapangan, mangsa menyatakan mereka tidak lagi memerlukan bantuan makanan. Mereka kini memohon bantuan berupa alatan pembersihan, lori dan sukarelawan untuk membantu proses pembersihan selain wang tunai," katanya.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi hari ini memberi amaran supaya semua pihak bersiap siaga menghadapi gelombang kedua dan ketiga banjir.
"Kesiapsiagaan 100 peratus ini perlu dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara untuk membolehkan usaha memindahkan mangsa banjir dibuat sebelum berlaku hujan lebat atau paras air meningkat," katanya.
#air
#bah
#banjir
#DAP
#Georgetown
#Lim Guan Eng
#mangsa
#mangsa banjir
#mati lemas
#Penang
#Profesor Dr Nor Azazi Zakaria
#pulau pinang
#Timbalan Perdana Menteri
#USM
#Zahid Hamidi