Pulau Pinang mohon tangguh denda majikan gagal sedia asrama pekerja asing

Bernama
Disember 5, 2020 21:15 MYT
Di bawah Akta 446 yang dikuatkuasakan baru-baru ini, majikan yang gagal menyediakan perumahan sesuai untuk pekerja boleh didenda sehingga RM50,000. -Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang memohon penangguhan satu tahun bagi denda terhadap majikan pekerja asing yang gagal menyediakan asrama pekerja dan sebaliknya menempatkan mereka di perumahan biasa.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata permintaan membenarkan pekerja asing tinggal di perumahan biasa itu merupakan langkah sementara untuk mereka berteduh, terutama ketika negara sedang dilanda COVID-19.
Di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang dikuatkuasakan baru-baru ini, majikan yang gagal menyediakan perumahan sesuai untuk pekerja boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap kesalahan.
Jagdeep berkata kerajaan negeri sememangnya mempunyai rancangan untuk membina asrama pekerja yang sesuai untuk penempatan pekerja asing tetapi rancangan itu tergendala susulan COVID-19.
"Setakat ini kami mempunyai enam asrama pekerja yang diluluskan dan dua daripadanya telah siap dibina di Batu Maung dan Bukit Minyak.
"Malangnya, waktu itu wabak COVID-19 melanda Malaysia dan memaksa kami untuk berfikir di luar kotak dan menyusun semula strategi (berkaitan isu perumahan tersebut)," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Jagdeep berkata isu perumahan pekerja asing merupakan masalah yang berterusan berlaku di negeri itu dan baru-baru ini pihak berkuasa mengesan terdapat kira-kira 30 pekerja asing tinggal di dalam sebuah rumah.
Katanya, walaupun kesemua enam asrama pekerja yang dirancang siap dibina kelak tetapi ia masih tidak mencukupi untuk menampung 135,490 pekerja asing berdaftar yang memerlukan sekurang-kurangnya 20 asrama.
"Oleh itu, Pulau Pinang ingin meminta moratorium sekurang-kurangnya satu tahun atau lebih sehingga kita dapat mencari jalan penyelesaian untuk mencari tempat yang sesuai bagi melindungi pekerja asing dalam semua industri," katanya.
Jagdeep sebelum itu menyertai pemeriksaan tempat ujian saringan COVID-19 untuk pekerja asing di tapak pembinaan Queens Waterfront, yang terletak di seberang Queensbay Mall.
Ketua Pegawai Eksekutif Ideal Property Group, Datuk Ng Tyan Ping berkata terdapat 350 pekerja asing di tapak pembinaan tersebut akan menjalani pemeriksaan COVID-19.
-- BERNAMA
#pulau pinang #kerajaan negeri #mohon #Penangguhan #denda #majikan #gagal #sediakan #asrama #pekerja asing #Jagdeep Singh Deo #Akta 446
;