Pulau Pinang mohon kaji semula sistem pengagihan cukai kepada negeri

Bernama
Mei 29, 2024 13:15 MYT
Chow Kon Yeow berkata ia akan memberi ruang yang besar kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek pembangunan dengan lebih berkesan. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pulau Pinang memohon Kerajaan Persekutuan mengkaji semula sistem pengagihan cukai kepada negeri dengan mengembalikan 20 peratus daripada wang cukai yang dikutip daripada negeri berkenaan.

Ringkasan AI
  • Pulau Pinang memohon Kerajaan Persekutuan mengkaji semula sistem pengagihan cukai dengan memulangkan 20% daripada wang cukai yang dikutip dari negeri tersebut.
  • Ini akan memberikan Pulau Pinang lebih RM1 bilion setiap tahun untuk melaksanakan program dan projek pembangunan.
  • Pulau Pinang bersedia menyokong dan memainkan peranan penting dalam Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, kerana memiliki ekosistem semikonduktor serta E&E yang maju.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata ia akan memberi ruang yang besar kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek pembangunan dengan lebih berkesan.
"Saya dimaklumkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengutip RM7 hingga RM8 bilion cukai daripada Pulau Pinang. Jika 20 peratus daripadanya, kita (Pulau Pinang) akan ada lebih RM1 bilion setiap tahun," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Gooi Hsiao Leung (PH-Bukit Tengah) mengenai langkah kerajaan negeri untuk berkolaborasi dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS) agar dapat membangunkan syarikat rantaian semikonduktor serta elektrik dan elektronik (E&E).
Chow berkata Pulau Pinang bersedia memainkan peranan dalam menjayakan NSS yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, kerana Pulau Pinang merupakan negeri paling ke hadapan dari segi ekosistem semikonduktor serta E&E di negara ini.
"Biasanya industri mempunyai kesan-kesan limpahan ekonomi kepada sektor lain seperti hartanah, pengangkutan, perkhidmatan dan rekreasi yang merancakkan pembangunan di Pulau Pinang. Cuma ada satu kekurangan, hasil daripada pembangunan ini disalurkan kepada Kerajaan Persekutuan," katanya.
Beliau turut berharap Invest Penang dapat membantu usahawan di negeri itu mengakses insentif di bawah NSS bagi mengukuhkan ekosistem ekonomi di Pulau Pinang.
Semalam Anwar mengumumkan industri semikonduktor Malaysia dijangka mengalami ledakan selanjutnya di bawah NSS dengan negara bersedia untuk menarik sekurang-kurangnya RM500 bilion pelaburan dalam fasa pertama pelan tersebut.
Perdana Menteri berkata kerajaan juga akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM25 bilion sokongan fiskal untuk mengoperasikan NSS dengan insentif bersasar, yang butiran terperincinya akan diumumkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri tidak lama lagi.
-- BERNAMA
#pulau pinang #kutipan cukai #kerajaan Persekutuan #Chow Kon Yeow
;