Pulau Pinang: Mohammad Abdul Hamid dilantik TKM I, Jagdeep Singh Deo TKM II
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 16, 2023 11:00 MYT
Ogos 16, 2023 11:00 MYT
GEORGE TOWN: Teka-teki Timbalan Ketua Menteri (TKM) Pulau Pinang I dan II akhirnya terjawab apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan ADUN Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo dilantik memegang jawatan itu hari ini.
Kedua-duanya mengangkat sumpah jawatan berkenaan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan turut disaksikan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Toh Puan Khadijah Mohd Nor dan isteri Kon Yeow, Tan Lean Kee.
Pelantikan Mohammad, 49, sekali gus menamatkan spekulasi sebelum ini, bahawa ADUN Bertam yang juga bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan dilantik memegang jawatan berkenaan.
Selain Mohamad dan Jagdeep, turut mengangkat sumpah ialah tujuh muka baharu yang akan menggalas tanggungjawab dalam tempoh lima tahun.
Mohamad yang juga Rektor Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB) Pulau Pinang juga memikul tanggungjawab mengetuai Jawatankuasa Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat.
Sementara Jagdeep pula selain dilantik sebagai TKM II juga turut mengetajui jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.
Berikut adalah senarai Exco baharu yang dilantik:
1) Chow Kon Yeow ( ADUN Padang Kota)
* Ketua Menteri
* Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi
2) Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid ( ADUN Batu Maung)
* Timbalan Ketua Menteri I
* Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat
3) Jagdeep Singh Deo ( ADUN Datok Keramat)
* Timbalan Ketua Menteri II
* Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi
4) Rashidi Zinol ( ADUN Sungai Acheh)
* Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar
5) Zairil Khir Johari(ADUN Tanjong Bunga)
* Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital
6) Wong Hon Wai (ADUN Paya Terubong)
* Pelancongan dan Ekonomi Kreatif
7) Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang)
* Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam
8) H’ng Mooi Lye (ADUN Jawi)
* Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa
9) Gooi Zi Sen (ADUN Padang Lalang)
* Belia, Sukan dan Kesihatan
10) Datuk Seri S. Sundarajoo (ADUN Perai)
* Perumahan dan Alam Sekitar
11) Fahmi Zainol(ADUN Pantai Jerejak)
* Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi
Kesemua Barisan Exco Pulau Pinang bagi penggal baru ini terdiri daripada lapan ADUN dari DAP, dua (PKR) dan satu (BN).
Majlis istiadat angkat sumpah dilakukan di Dewan Sri Pinang, George Town kira - kira jam 10.20 pagi Rabu.
DUN Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 13 kerusi Parlimen.
Gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri dengan memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri ( PRN) pada 12 Ogos lepas.