Pulau Pinang masih kekal SOP solat jemaah

Bernama
Januari 8, 2022 16:18 MYT
Pulau Pinang masih mengekalkan SOP bagi semua aktiviti di masjid dan surau kerana masih terdapat ancaman jaangkitan COVID-19 varian Omicron di negeri itu. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Pulau Pinang masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi semua aktiviti di masjid dan surau termasuk melaksanakan solat berjemaah dengan berjarak kerana masih terdapat ancaman jangkitan COVID-19 varian Omicron di negeri itu.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, ketika ini, negeri itu masih belum dapat melaksanakan solat jemaah dengan merapatkan saf sepertimana yang dilakukan di Perlis dan Johor, dan orang ramai perlu mematuhi SOP Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Sebelum ini, pihak kami telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan kebenaran melaksanakan solat rapat saf, namun ia belum dapat diputuskan kerana ketika ini masih terdapat ancaman Omicron.
"Jadi, orang ramai terutama jemaah yang hadir di masjid dan surau di Pulau Pinang perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan sebelum ini untuk semua aktiviti pengimarahan masjid dan surau termasuk solat jemaah berjarak," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar pada Khamis mengenai Perlis membenarkan jemaah solat di masjid di seluruh negeri merapatkan saf berkuat kuasa bermula waktu subuh hari ini.
Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, keputusan kebenaran untuk merapatkan saf ketika solat jemaah hanya akan dibuat selepas trend kes melibatkan varian Omicron di Pulau Pinang menurun.
"Semua aktiviti pengimarahan masjid adalah dibenarkan, namun tertakluk kepada SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini dan keputusan berhubung merapatkan saf akan dibuat selepas penilaian kes COVID-19 terutama berkaitan varian Omicron," katanya. - BERNAMA
#SOP solat jemaah #pulau pinang #COVID-19 #varian omicron
;