Pulau Pinang mahu perbanyak kedai makan mesra muslim
Bernama
April 27, 2024 18:15 MYT
April 27, 2024 18:15 MYT
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang berhasrat memperbanyakkan kemudahan terutama kedai makan mesra Muslim bagi memperkasakan lagi industri pelancongan di negeri ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pihaknya melihat Pulau Pinang berpotensi tinggi dalam pasaran Muslim bagi pelancong domestik dan antarabangsa.
"Hari ini, banyak pakej pelancongan mesra Muslim dipromosikan dan selaku kerajaan negeri saya melihat kita ada potensi tinggi dalam pasaran Muslim, namun, kita perlu memastikan mempunyai fasiliti secukupnya yang patuh syariah untuk memenuhi peningkatan pelancong Muslim.
"Makanan sentiasa menjadi perkara yang paling diambil berat kerana kebanyakan pelancong datang ke sini untuk makan dan kita pula tak ada cukup outlet makanan (mesra Muslim)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Penang 2024 di Setia Spice Arena, di sini, hari ini.
Kon Yeow berkata lebih banyak kedai makan dengan kepelbagaian pilihan serta kemudahan yang lebih selesa perlu diperbanyakkan bagi meningkatkan kedatangan pelancong sekali gus merancakkan lagi ekonomi negeri.
Sementara itu, Pengerusi MATTA Pulau Pinang Carolyn Leong berkata pameran kali ini menyasarkan RM35 juta nilai jualan menerusi penawaran pelbagai pilihan pakej pelancongan ke destinasi antarabangsa dan domestik, selain penyertaan beberapa ejen yang menawarkan pakej umrah.
"Kita juga berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana usaha mereka membolehkan banyak pakej ditawarkan dengan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke destinasi pilihan, sekali gus mengurangkan kesulitan pengembara kerana tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur untuk menaiki penerbangan," katanya.
Beliau turut menjangkakan kehadiran 40,000 pengunjung dari negeri-negeri di utara tanah air pada pameran dua hari itu.
-- BERNAMA