Pulau Pinang, Langkawi meterai MoU Pulau Persaudaraan UNESCO

Bernama
September 8, 2022 21:03 MYT
Bangunan bersejarah yang terdapat di George Town yang diiktiraf tapak warisan UNESCO. - Gambar fail/ Bernama
GEORGE TOWN: Pulau Pinang dan Langkawi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi Pulau Persaudaraan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi mengukuhkan pertumbuhan pelancongan dan prospek kerjasama antara kedua-dua destinasi tersebut.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Yeoh Soon Hin berkata pemeteraian MoU itu adalah hasil misinya sebelum ini ketika beliau mewakili kerajaan negeri menandatangani Surat Niat (Lol) bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pada 20 Jun lepas.
"MoU ini menunjukkan kemajuan yang dicapai Pulau Pinang dalam usaha kami mewujudkan lebih banyak rangkaian hubungan dengan rakan pelancongan, termasuk destinasi pelancongan terkemuka seperti Langkawi.
"Kedua-dua destinasi mempunyai tapak UNESCO, iaitu secara asasnya adalah inti pati MoU tersebut. Kami tidak sabar untuk mempergiat kerjasama dengan Langkawi dalam pelbagai aspek, dari promosi pelancongan, keterhubungan, pertukaran budaya ke geopelancongan," katanya kepada pemberita selepas menandatangani MoU tersebut di sini hari ini.
Yeoh berkata penting bagi kedua-dua destinasi itu untuk memanfaatkan inskripsi UNESCO masing-masing, bukan sahaja untuk pihak berkuasa, malah untuk pemain industri dan pengunjung.
MoU berkenaan ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Pengurusan) Datuk Ahmad Rizal Mohd Hanapiah dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA Nasaruddin Abdul Muttalib serta disaksikan oleh Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Sementara itu, Yeoh berkata Pulau Pinang akan meneruskan usahanya untuk menembusi pasaran pelancongan baharu dan sedia ada, termasuk pelancongan perniagaan, bagi memastikan negeri ini kekal di hadapan dalam industri itu di Malaysia dan Asia Tenggara.
-- BERNAMA
#pulau pinang #Langkawi #Pulau Persaudaraan UNESCO #Yeoh Soon Hin
;