Pulau Pinang lancar taman AR pertama

Bernama
Februari 17, 2023 15:23 MYT
Pelancong Sun Jin Xin, 24, menunjukkan karya seni yang diimbaskan pada kod yang dipamerkan di Taman Armenian selepas pelancaran Taman Augmented Reality (AR) hari ini. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Pulau Pinang menghidupkan Taman Armenian melalui pelancaran teknologi realiti terimbuh (AR) sebagai usaha untuk memaksimumkan pengalaman pelancong di negeri itu.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Yeoh Soon Hin berkata projek Taman ARmenian itu mengandungi 19 imej hasil kerja batik daripada koleksi Orikata Tales Mandy Maung.
Projek Taman ARmenian ialah pemasangan seni luar interaktif AR yang mencipta pengalaman interaktif yang unik kepada pengunjung taman itu.
"Lebuh Armenian ialah satu daripada lokasi pelancongan sangat popular di Pulau Pinang, dengan menyepadukan seni AR di Taman Armenian boleh memaksimumkan pengalaman pelancong dan menambah nilai kepada destinasi itu sendiri," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Taman ARmenian hari ini.
Beliau juga percaya Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia melancarkan taman AR.
Yeoh berkata pelancong boleh melihat seni itu menjadi hidup apabila mereka mengimbas kod menggunakan aplikasi Perk Reality.
Beliau berkata kandungan imej itu akan berbeza setiap bulan, memberikan platform kepada lebih ramai artis untuk mempamerkan karya seni mereka.
"Menerusi teknologi AR kita akan dapat menyediakan saluran baharu kepada artis untuk mempamerkan hasil kerja mereka baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
#pulau pinang #Taman Armenian #taman AR pertama #teknologi realiti terimbuh