Pulau Pinang laksana solat jenazah ghaib ke atas Yusof al-Qaradawi

Dewi Nur Harasha Alias
September 27, 2022 18:44 MYT
Semalam, ulama tersohor kelahiran Mesir itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun di Qatar.
GEORGE TOWN: Seluruh masjid dan surau di Pulau Pinang diseru mengadakan solat jenazah ghaib buat ulama tersohor Sheikh Yusuf al-Qaradawi selepas solat Isyak malam ini.
Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata solat jenazah ghaib tersebut dibuat sebagai tanda penghormatan kepada tokoh yang banyak berjasa kepada umat Islam khusus dalam pembangunan pendidikan, kerohanian dan dakwah.
Semalam, ulama tersohor kelahiran Mesir itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 96 tahun di Qatar.
Berita duka pemergian Ketua Kesatuan Ulama Islam Antarabangsa (IUMS) itu diumumkan di akaun media sosial rasmi Allahyarham.
Dilahirkan pada pada 9 September 1926, Allahyarham dikenali sebagai seorang Mujtahid di era moden ini.
Allahyarham tinggal dalam buangan berikutan penggulingan tentera kerajaan pimpinan Ikhwanul Muslimin di Mesir pada 2013.
Allahyarham Yusuf telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati tanpa hadir di Mesir.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham telah menghasilkan lebih 120 buah buku termasuk naskhah perundangan Islam serta menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa.
Allahyarham sangat masyhur menerusi program Sharia and Life terbitan saluran berita antarabangsa, Al-Jazeera yang dianggarkan ditonton oleh 40 hingga 60 juta penonton di seluruh dunia.
Atas jasa baktinya dalam dunia Islam, kerajaan Malaysia telah menganugerahkan Allahyarham Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009.
#Sheikh Yusuf al-Qaradawi #ulama tersohor #solat jenazah ghaib #pulau pinang
;