Pulau Pinang laksana projek percubaan lorong bas bermula 19 Nov - Exco
Bernama
November 11, 2024 05:00 MYT
November 11, 2024 05:00 MYT
GEORGE TOWN: Selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang akan melaksanakan projek percubaan lorong bas bagi melihat kebolehlaksanaan dan mengurangkan masa perjalanan bas terutamanya pada waktu puncak sekali gus meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari berkata projek rintis yang pertama di Pulau Pinang itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Penang) di sebahagian Jalan Penang dan Jalan Ria bermula 19 Nov.
"Pelaksanaan projek percubaan lorong bas ini melibatkan simpang Jalan Ria/Jalan Dr. Lim Chwee Leong hingga Jalan Ria/Jalan Magazine iaitu kira-kira 200 meter (m), simpang Jalan Penang/JalanMagazine/Jalan Datuk Keramat hingga Jalan Penang/Jalan Burma (100m) dan simpang Jalan Penang/Lebuh Chulia hingga Jalan Penang/Jalan Dr. Lim Chwee Leong (200m).
"Ia akan dilaksanakan secara percubaan bermula 19 Nov hingga 19 Mei 2025 untuk enam bulan dan operasi lorong bas percubaan itu ialah setiap hari termasuk cuti kelepasan am, dan waktu operasi bermula pada pukul 6.30 pagi hingga 9 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam," katanya pada sidang media di Komtar pada Isnin.
Beliau berkata kenderaan yang dibenarkan menggunakan lorong bas itu ialah bas awam, bas persiaran, teksi, dan kenderaan kecemasan sahaja.
Zairil berkata inisiatif berkenaan diharap mampu mengurangkan masa perjalanan bas terutama pada waktu puncak berdasarkan kejayaan di tiga lorong bas percubaan yang telah dilaksanakan di Kuala Lumpur dan kejayaan dapat dilihat dengan keberhasilan penjimatan masa perjalanan sebanyak 10-15 minit.
Beliau berkata kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang telah memberi kesan yang besar terhadap kecekapan perkhidmatan bas Rapid Penang dengan bas mengalami kelewatan untuk sampai ke setiap perhentian bas dan ke terminal-terminal bas.
Bagi melaksanakan projek percubaan lorong bas berkenaan, katanya MBPP akan mendirikan papan tanda pemakluman di sepanjang jalan-jalan yang terlibat dengan pelaksanaan lorong bas percubaan selain kon keselamatan akan disusun di sepanjang lorong bas pada waktu pagi dan petang serta ia dikeluarkan selepas tamat waktu operasi lorong bas.
Zairil berkata bagi peringkat awal pelaksanaan lorong bas itu, anggota penguat kuasa MBPP dengan kerjasama pihak polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuat pemantauan di tapak untuk mengawal kelancaran aliran lalu lintas di lorong bas itu.
-- BERNAMA