Pulau Pinang laksana larangan kemasukan anjing
Astro Awani
Julai 19, 2017 15:13 MYT
Julai 19, 2017 15:13 MYT
Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah segera dengan menghalang kemasukan haiwan hidup khususnya anjing dari Perak dan Sarawak ke negeri itu bagi mengelak penularan rabies atau penyakit anjing gila berkuatkuasa serta-merta.
Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri, Dr Afif Bahardin berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kes Rabies kini sudah merebak ke Perak.
Afif berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar ( DVS) negeri juga akan mengadakan sekatan jalan raya bagi memantau sebarang pergerakan dan pemindahan anjing dari Perak ke Pulau Pinang.
Tambahnya, walaupun Pulau Pinang masih bebas daripada ancaman penyakit itu selepas pernah berdepan situasi sama pada 2015, pemantauan berterusan telah dilakukan pihak berkaitan.
"Jabatan Veterinar Negeri dan semua agensi kerajaan negeri diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk berhadapan dengan apa juga kemungkinan, di mana pemantauan berterusan sedang dilakukan untuk memastikan tidak ada penularan wabak Rabies terutama dari Kuala Sepetang," kata Dr. Afif pada sidang media di Pejabat Veterinar Negeri di Bukit Mertajam hari ini.
Tambahnya lagi, semua pintu masuk negeri juga sudah dimaklumkan supaya meningkatkan pemantauan veterinar.
Katanya, sebelum ini, Kerajaan negeri Pulau Pinang telah melaksanakan Pewartaan Penyakit Rabies berkuatkuasa 15 September 2015 seperti termaktub dibawah Akta Binatang 1953 selepas wabak Rabies yang bermula di Perlis menular ke negeri itu.
Sepanjang tempoh itu, sebanyak 241 sampel otak anjing telah diuji dan hasil ujian menunjukkan anjing berkenaan negatif Rabies.
Sehubungan itu, bagi memastikan wabak berkenaan tidak menular di negeri itu, semua pemilik anjing diingatkan supaya segera mendapatkan vaksin bagi haiwan peliharaan mereka di Klinik Jabatan Veterinar negeri, klinik Veterinar swasta atau di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) .
Katanya, sebanyak 5,927 anjing telah menerima vaksin dan pihak DVS kini mempunyai 3,890 botol vaksin.
Dalam pada itu, orang ramai juga diingatkan supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mendapat gigitan atau bersentuhan dengan haiwan terutamanya anjing gila .
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan haiwan berkenaan juga boleh menghubungi pihak DVS negeri di talian 04-5041047.