Pulau Pinang harap cuti Aidilfitri dapat putuskan penularan COVID-19 di sekolah

Bernama
April 27, 2021 22:28 MYT
Kon Yeow berkata berdasarkan laporan terkini jabatan kesihatan negeri, penularan COVID-19 di sekolah berkemungkinan besar berpunca daripada ibu bapa kepada pelajar. -Gambar fail
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang berharap cuti sekolah sempena perayaan Aidilfitri bulan depan dapat memutuskan penularan COVID-19 di sekolah.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata beliau dimaklumkan oleh Jabatan Pendidikan Pulau Pinang bahawa lapan sekolah di negeri ini ditutup berikutan terdapat kes COVID-19 dilaporkan di sekolah berkenaan.
"Semasa hari raya, ada cuti sekolah diikuti cuti pertengahan tahun hingga Jun dan kami berharap semasa tempoh cuti itu, kita dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19 di semua sekolah," katanya kepada pemberita, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata berdasarkan laporan terkini jabatan kesihatan negeri, penularan COVID-19 di sekolah berkemungkinan besar berpunca daripada ibu bapa kepada pelajar.
"Ibu bapa mungkin dijangkiti dari tempat kerja dan membawa virus itu menjangkiti anak-anak mereka.
"Kita berharap di samping terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan ketat, kita dapat memutuskan rantaian penularan virus ini dan mengelakkan pelajar daripada dijangkiti," katanya.
-- BERNAMA
#cuti aidilfitri #kekang penularan #sekolah #COVID-19 #pelajar #Chow Kon Yeow #Jabatan Pendidikan #ibu bapa kepada pelajar