Pulau Pinang haramkan mesin simulator selepas 2018
Bernama
Februari 26, 2017 07:46 MYT
Februari 26, 2017 07:46 MYT
Kerajaan Pulau Pinang akan mengharamkan penggunaan semua mesin simulator atau mesin judi di negeri ini selepas 2018 bagi mengekang peningkatan masalah sosial.
Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata keputusan itu diambil pada satu mesyuarat exco berikutan wujud kebimbangan mengenai peningkatan masalah sosial dan lambakan mesin seperti itu, termasuk yang memerlukan manusia mencuba nasib mengambil patung atau barang permainan menggunakan penyepit.
Katanya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan dimaklumkan tentang peraturan baharu itu.
"Pada tahun ini, mesin simulator akan hanya dibenar beroperasi di hotel, pusat beli-belah dan pasar raya, tetapi selepas 2018, Pulau Pinang tidak akan lagi mempunyai sebarang mesin simulator," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog dengan belia di pinggir hutan simpan Cherok Tok Kun di sini, Ahad.
Beliau berkata semua permohonan lesen untuk mesin simulator akan ditolak, manakala permohonan untuk memperbaharui lesen sedia ada tidak akan diluluskan selepas 2018. - BERNAMA