Pulau Pinang digesa perjelas isu bayaran kepada pemegang konsesi

Hafiz Marzukhi
Jun 20, 2017 17:35 MYT
Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata jika gagal, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). -Gambar fail
Kerajaan Pulau Pinang diberi masa seminggu untuk menerangkan sebab bayaran kepada pemegang konsesi untuk projek pembinaan infrastruktur adalah empat kali ganda lebih tinggi daripada kadar bayaran yang dibenarkan.
Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata jika gagal, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kami ingin beri peluang kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk menerangkan secara terhormat.
"Jika mereka memilih untuk terus tidak memberi respons, kita akan kemukakan bukti-bukti dokumen kepada pihak yang sepatutnya," kata beliau dalam satu sidang media di Barisan Nasional Institute di Cyberjaya.
Turut hadir Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Dr Eric See-To.
Projek infrastruktur yang dimaksudkan adalah bagi tiga jalan raya baharu serta projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.
#Abdul Rahman Dahlan #bayaran kepada pemegang konsesi #Eric See-To #projek pembinaan infrastruktur #SPRM
;