Pulau Pinang dicadang wujud Jawatankuasa Khas bincang hal ehwal agama Islam
Bernama
Mei 27, 2024 04:40 MYT
Mei 27, 2024 04:40 MYT
GEORGE TOWN: Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Muhammad Fauzi Yusof mencadangkan agar diwujudkan Jawatankuasa Khas di bawah Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) bagi membincangkan isu dalaman hal ehwal agama Islam di negeri itu.
Beliau berkata pembentukan Jawatankuasa Khas tersebut penting kerana menyedari sensitiviti yang berkaitan dalam menangani isu-isu berkaitan hal ehwal Islam dan Melayu.
"Mekanisme perlantikan jawatankuasa khas ini adalah melalui mesyuarat Jawatankuasa Tetap PAC.
"Perlantikan Ahli Jawatankuasa Khas ini dicadangkan dan dipersetujui oleh anggota tetap jawatankuasa PAC," katanya ketika sesi perbahasan ke atas ucapan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada Sidang DUN di sini pada Isnin.
Menurutnya antara fungsi utama Jawatankuasa Khas ini adalah untuk mengaudit institusi berkaitan umat Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, institusi Zakat, Baitul Mal, masjid dan sebagainya.
Muhammad Fauzi (PN-Sungai Dua) berkata secara praktikalnya isu dalaman berkaitan hal ehwal umat Islam sewajarnya dibincangkan dan ditangani oleh umat Islam sendiri kerana ia juga berkaitan dengan hukum, ibadah dan perkara sensitif yang lain.
-- BERNAMA