Pulau Pinang dicadang sediakan hotel, restoran mesra pelancong Muslim

Bernama
November 18, 2015 08:00 MYT
Kemudahan seperti tandas di kebanyakan hotel di negeri itu perlu disediakan paip air bagi memudahkan pelancong Muslim untuk bersuci.
Wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mencadangkan kerajaan DAP Pulau Pinang mewajibkan semua hotel sedia ada dan yang bakal dibina agar mesra pelanggan beragama Islam.
Shariful Azhar Othman (BN-Bertam) berkata kemudahan seperti tandas di kebanyakan hotel di negeri ini perlu disediakan paip air bagi memudahkan pelancong Muslim untuk bersuci.
"Saya yakin, jika hotel-hotel di Pulau Pinang mengamalkan mesra pelanggan Muslim, ia akan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini terutama mereka yang beragama Islam. Amalan ini juga bersesuaian dan tidak menjadi masalah kepada pelanggan bukan Islam.
"Hendaklah diwajibkan untuk menyediakan paip air di dalam setiap tandas di lobi dan bilik hotel. Saya percaya setiap orang yang berada di dalam dewan ini melalui kesukaran apabila ada tandas yang tidak disediakan paip air," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.
Shariful Azhar turut mencadangkan kerajaan negeri agar mewajibkan setiap hotel dan restoran di negeri ini memohon sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memberi jaminan makanan dan minuman yang disediakan adalah halal.
Cadangan wakil rakyat Bertam itu turut mendapat sokongan Datuk Jahara Hamid (BN-Teluk Air Tawar) yang menyarankan hotel dan restoran di negeri ini agar bercirikan mesra pelanggan Muslim.
"Saya rasa isu ini, walaupun ramai tak mahu cakap, saya rasa ini adalah hasrat semua. Elok juga kita bangkitkan perkara ini. Malaysia kini menjadi tarikan pelancong seluruh dunia...Malaysia antara 'Top 10' tempat yang digemari oleh pelancong Muslim.
"Di Jepun pun kebanyakan restoran adalah 'Muslim friendly' dengan menyediakan makanan halal dan keperluan yang diperlukan oleh orang beragama Islam. Sudah tiba masanya hotel dan restoran di negeri ini mengikut jejak langkah Jepun," katanya.
#BN #Hotel Pulau Pinang #Islam
;