Pulau Pinang catat kes pertama COVID-19

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 12, 2020 18:59 MYT
Pengawal keselamatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memeriksa suhu semua kakitangan dan orang awam yang memasuki bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan jangkitan COVID-19. - BERNAMA
Pulau Pinang merekodkan kes pertama positif jangkitan COVID-19 di negeri itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, individu tersebut merupakan seorang kontak rapat kepada satu kes positif di Kuala Lumpur.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai individu berkenaan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, individu berkenaan telah dihubungi untuk tujuan siasatan dan persampelan.
Jelasnya, senarai kontak rapat di tempat kerja dan di rumah individu tersebut turut dikenal pasti sebelum keputusan ujian saringan disahkan di Institut Penyelidikan Perubatan.
BACA: COVID-19: Acara sukan tempatan dan antarabangsa perlu ditangguhkan
Katanya, siasatan, persampelan dan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Bagi Kontak COVID-19 juga telah dijalankan ke atas semua kontak rapat kes tersebut.
Sehubungan itu, Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus komited dan bertanggungjawab untuk meningkatkan saluran komunikasi rasmi bagi tujuan menyampaikan berita serta pesanan yang tepat dan sahih sepanjang berlakunya COVID-19 ini.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan berhubung COVID-19, boleh menghubungi Crisis Preparedness & Response Centre (CPRC), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang melalui alamat e-mel: epid_penang@moh.gov.my atau talian telefon 04 - 262 9902.
#Chow Kon Yeow #COVID-19 #CPRC #jangkitan COVID-19 #koronavirus #pulau pinang
;