Pulau Pinang cadang bina pusat proses najis ternakan babi selesai isu pencemaran

Bernama
September 23, 2024 16:15 MYT
Sundarajoo meluangkan masa lebih dua jam meninjau ladang ternakan dan pusat sembelihan babi di Kampung Selamat hari ini. - Gambar/ Bernama
TASEK GELUGOR: Pulau Pinang akan berbincang mengenai cadangan membina pusat pemprosesan najis ternakan di Kampung Selamat di sini bagi mengatasi isu pencemaran Sungai Kereh.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo berkata cadangan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Kerajaan Negeri minggu ini untuk dibentangkan terlebih dahulu sebelum mengadakan perjumpaan dan perbincangan bersama agensi terlibat.
"Saya banyak menerima aduan mengenai masalah pencemaran di Sungai Kereh malah kerap dibangkitkan ketika sidang DUN (Dewan Undangan Negeri).
"Kita perlu percepatkan usaha membina sebuah pusat pemprosesan najis ternakan di sini (Kampung Selamat) kerana ia satu keperluan supaya semua sisa kumbahan dari ladang boleh terus disalurkan ke pusat tersebut sekali gus berupaya meningkatkan semula kualiti air ... ," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Sundarajoo meluangkan masa lebih dua jam meninjau ladang ternakan dan pusat sembelihan babi di Kampung Selamat sebelum ke Sungai Kereh bagi melihat tahap pencemaran dan kualiti air di situ.
Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang Norazizi Adinan dan Ketua Bahagian Regulatori Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang Dr Tishrin Muhammad Ismail.
Sundarajoo berharap projek itu direalisasikan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan supaya pengurusan sisa dapat dibuat secara lebih sistematik.
Sementara itu, Dr Tishrin berkata terdapat 61 ladang ternakan haiwan berkenaan di Kampung Selamat telah beroperasi kira-kira 40 tahun.
"Kesemua ladang ini telah mematuhi kriteria minimum terutamanya berkaitan sistem pertenakan moden," katanya.
Beliau menyifatkan cadangan untuk membina pusat biogas bersama sememangnya amat dinantikan oleh semua pihak termasuk penternak yang bersetuju memberikan komitmen bagi menyelesaikan isu pencemaran itu.
Media sebelum ini pernah melaporkan analisis makmal bebas hasil usaha Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Badan Bertindak Bantah Pencemaran Sungai Kereh terhadap kualiti air di sungai itu mendapati punca utama pencemaran disebabkan aktiviti penternakan di lokasi berkenaan.
-- BERNAMA
#ternakan babi #pencemaran sungai #kampung selamat #pulau pinang
;