Pulau Pinang buka dua PPV peruncitan percepatkan PICK

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 17, 2021 18:09 MYT
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow (tengah) berkata dua buah PPV khas dibuka bagi Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi Sektor Peruncitan (Rivac) di Pulau Pinang. - Gambar Facebook Ketua Menteri
GEORGE TOWN: Pulau Pinang membuka dua buah pusat pemberian vaksin (PPV) khas bagi Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi Sektor Peruncitan (Rivac) dalam usaha mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, dua PPV tersebut masing-masing dibuka di Gurney Paragon di sini dan Design Village Mall di Batu Kawan, Seberang Perai Selatan.
Menurut beliau, sebanyak 6,000 dos vaksin pertama akan disediakan kepada penerima di Gurney Paragon bermula semalam (Isnin) manakala 4,000 dos vaksin akan diberikan kepada penerima di Design Village mulai esok (18 Ogos).
Kapasiti harian yang disasarkan di Gurney Paragon adalah sebanyak 1,200 sehari dan program ini akan berlangsung selama lima hari sehingga 20 Ogos ini.
“Tempat kedua adalah di Design Village Mall, 4,000 penerima, Gurney Paragon kapasiti harian 1,200 dalam lima hari akan selesai dos pertama dan dos kedua akan disambung pada September nanti,” kata beliau.
Kon Yeow berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke PPV Rivac di Gurney Paragon, di sini, pada Selasa.
Beliau berkata, sehingga semalam sahaja, seramai 5,230 daripada 6,700 individu yang dijemput menyertai Rivac telah mengesahkan kehadiran mereka manakala selebihnya sudah menerima tarikh janji temu melalui MySejahtera.
Kata Kon Yeow lagi, Pulau Pinang sudah memasuki peringkat akhir pemberian vaksin bagi dos pertama dan dijangka mencapai 100 peratus menjelang bulan depan.
Setakat ini, negeri itu sudah mencapai 71.5 peratus dos pertama manakala dos kedua pula sudah mencapai 38.1 peratus seterusnya menjangkakan untuk mencapai 50 peratus akhir bulan ini.
Jelas beliau, peratusan berkenaan penting kerana akan menjadi nilai ambang kepada Pulau Pinang untuk beralih ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berikutnya.
#Pusat Pemberian Vaksin #PPV #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi Sektor Peruncitan #Gurney Paragon #Design Village Mall #Chow Kon Yeow #Ketua Menteri
;