Pulau Pinang bincang penerokaan unsur nadir bumi, hidrokarbon

Bernama
Mei 29, 2024 23:00 MYT
S.Sundarajoo berkata lawatan ke tapak projek rintis di Perak juga sedang diatur untuk melihat kaedah pelaksanaan dan manfaat yang akan diperoleh dari segi pulangan hasil kepada negeri secara komprehensif. - Gambar fail/FB Sundarajoo
GEORGE TOWN: Pulau Pinang sedang menjalankan perbincangan dengan syarikat-syarikat berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) susulan penerokaan hasil bumi berkenaan di beberapa kawasan di negeri itu yang dianggarkan bernilai RM100 bilion.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri S.Sundarajoo berkata lawatan ke tapak projek rintis di Perak juga sedang diatur untuk melihat kaedah pelaksanaan dan manfaat yang akan diperoleh dari segi pulangan hasil kepada negeri secara komprehensif.
"Hal ini bagi membolehkan projek yang akan dilaksanakan kelak menepati syarat-syarat serta garis panduan yang telah ditetapkan oleh agensi berkaitan bagi menjaga kepentingan alam sekitar.
"Buat masa sekarang, banyak syarikat yang mengusahakan projek-projek begini berjumpa dengan kita (kerajaan negeri) buat pembentangan. Kami akan buat beberapa lawatan kerana benda ini baharu untuk kita," katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Pada November lepas, Ketua Menteri Chow Kon Yeow memaklumkan Pulau Pinang mempunyai sumber nadir bumi yang dianggarkan bernilai RM100 bilion berdasarkan kajian persampelan di beberapa lokasi seperti Teluk Bahang, Balik Pulau dan sekitar Nibong Tebal oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sekali gus mempelopori penjanaan pendapatan baharu.
Sementara itu, Sundarajoo berkata Pulau Pinang juga masih dalam peringkat perbincangan untuk memaksimumkan penemuan hidrokarbon di negeri itu berdasarkan keputusan kaji selidik yang dijalankan Petronas.
Bagaimanapun, katanya sesi perbincangan antara kerajaan negeri bersama pihak Petronas belum dapat diadakan atas faktor permohonan daripada Petronas untuk melengkapkan proses menganalisis data.
Beliau berkata tinjauan seismik dua dimensi (2D) berbilang pelanggan luar pesisir baharu telah dijalankan di kawasan utara Selat Melaka untuk mengeksplorasi dan memetakan potensi hidrokarbon di blok terbuka PM320 dan PM321 Lembangan Langkasuka pada 15 Nov lepas.
"Tinjauan ini akan meningkatkan ketersediaan data seismik yang lebih besar dan komprehensif. Ia bermula pada Oktober 2023 dan telah selesai pada akhir Disember 2023 manakala proses menganalisis data terkumpul dijangka selesai pada Jun 2024," katanya
Sebelum ini, Petronas memaklumkan kaji selidik itu meliputi kawasan bersaiz lebih 38,000 kilometer (km) persegi, bertujuan untuk memperoleh kira-kira 8,000km data seismik 2D baharu bagi menyediakan data seismik berkualiti tinggi untuk menjangkakan sasaran pratertiari.
Lembangan Langkasuka terletak kira-kira 30km dari Pulau Pinang.
-- BERNAMA
#projek rintis #unsur nadir bumi #kaedah pelaksanaan #menganalisis data
;