Pulau Pinang benarkan ibadah korban dengan SOP ketat
Bernama
Jun 19, 2021 17:20 MYT
Jun 19, 2021 17:20 MYT
GEORGE TOWN: Pulau Pinang membenarkan ibadah korban sempena Aidiladha dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan hanya boleh dilakukan di masjid, surau dan di pusat sembelihan.
Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, pelaksanaan korban itu tertakluk kepada had bilangan haiwan ditetapkan dan membabitkan 25 petugas sahaja.
"Bagi pusat sembelihan ia merangkumi milik pihak berkuasa tempatan, Jabatan Veterinar dan swasta sahaja, tiada had jumlah haiwan untuk dikorbankan ditetapkan di situ.
"Manakala di masjid, 10 ekor dihadkan bagi lembu, kerbau atau unta dan 20 ekor (kambing), manakala di surau lima ekor (lembu, kerbau atau unta) dan 10 ekor (kambing) dengan petugas maksimum 25 orang sahaja," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya turut mengehadkan hanya lima ekor haiwan sahaja disembelih di masjid dan surau setiap hari.
Ahmad Zakiyuddin berkata peserta korban tidak dibenarkan berada di tempat penyembelihan dan perlu mendaftar secara dalam talian manakala ibadah akikah tidak dibenarkan.
Jelasnya, jawatankuasa ibadah korban bagi masjid dan surau perlu mendapatkan kebenaran daripada pejabat agama daerah terlebih dahulu dan memastikan kesemua SOP dipatuhi bagi membendung penularan wabak COVID-19.
"Manakala aktiviti memasak di tempat ibadah korban tidak dibenarkan dan makanan petugas dibuat dalam pek manakala agihan korban perlu dibuat rumah ke rumah," katanya.
Menurutnya, pihak polis, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang akan menjalankan pemantauan bagi memastikan semua pihak mematuhi SOP dan tindakan tegas diambil jika gagal mematuhinya.
-- BERNAMA
#Aidiladha
#Ibadah Korban
#COVID-19
#SOP
#Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang
#Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman
#penyembelihan