Pulau Pinang benarkan akad nikah di premis persendirian
Bernama
November 12, 2021 15:59 MYT
November 12, 2021 15:59 MYT
GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) membenarkan majlis akad nikah di negeri itu berlangsung di premis persendirian atau masjid secara bersemuka namun tanpa sentuhan, berkuat kuasa semalam.
Pengarahnya, Datuk Mohd Zakuan Zakaria berkata, bagaimanapun majlis yang diadakan itu tidak boleh melebihi 50 minit dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan.
"Bermula semalam, JHEAIPP membenarkan majlis akad nikah di masjid, surau atau premis persendirian dengan syarat mendapat kebenaran dengan jumlah kehadiran tetamu mengikut ketetapan pihak kami berbanding sebelum ini hanya di Pejabat Agama Daerah.
"Namun, ia perlu dijalankan dengan SOP yang ketat antaranya tidak dibenarkan sebarang upacara seperti membatalkan air sembahyang, sarung cincin, bersalam antara satu sama lain selepas majlis akad nikah itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zakuan berkata, semua yang terlibat dengan upacara pernikahan diwajibkan membuat saringan kendiri sebelum akad nikah dilaksanakan dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.
Beliau berkata, jumlah kehadiran bagi upacara akad nikah adalah lima orang mengikut rukun nikah dan tetamu bagi majlis akad nikah pula adalah berpandukan kepada SOP Pejabat Agama, masjid dan surau.
"Pihak Pejabat Agama Daerah, masjid dan surau hendaklah memastikan kaedah keluar dan masuk dari tempat akad nikah adalah selamat dan tanpa risiko jangkitan COVID-19. Susun atur majlis akad nikah hendaklah mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter berpandukan SOP terkini yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa agama negeri," katanya.
Mohd Zakuan berkata, bagi pasangan pengantin yang tidak boleh hadir ke upacara akad nikah atas faktor kesihatan, mereka boleh melantik dan mewakilkan kepada seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihaknya.
Beliau berkata, jamuan majlis kenduri dan resepsi tidak dibenarkan manakala aktiviti fotografi dibenarkan semasa majlis pernikahan tertakluk kepada pematuhan SOP yang telah ditetapkan.
"Hanya mas kahwin dan dokumen-dokumen yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di dalam ruang majlis dan kesemua pihak perlu mempraktikkan amalan sanitasi kebersihan yang optimum pada masa majlis akad dengan terlebih dahulu mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan," katanya.
- BERNAMA