Pulau Pinang batal semua aktiviti, sambutan perayaan tahun ini

Bernama
September 5, 2020 19:20 MYT
Yeoh turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di luar rumah. - Gambar fail/BERNAMA
Pulau Pinang membatalkan semua aktiviti dan sambutan perayaan sehingga hujung tahun ini berikutan situasi semasa negara yang sedang berdepan pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Yeoh Soon Hin berkata semua aktiviti dan sambutan perayaan di bawah portfolionya dibatalkan kecuali Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM 2020) yang dijadikan larian maya pada tahun ini berikutan penularan COVID-19.
Beliau berkata program-program kebudayaan tahunan yang telah dirancang untuk tahun ini seperti Festival Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang dari 5 hingga 6 Dis, Pesta Chingay Pulau Pinang (12 Dis) dan Pesta Chingay Seberang Perai (19 Dis) tidak akan diadakan.
"Keputusan ini dibuat dengan mengambil pertimbangan bahawa perhimpunan secara beramai-ramai masih tidak digalakkan pada masa ini untuk mengelakkan kejadian kluster baharu.
BACA: Pesta Pulau Pinang 2020 dibatalkan kerana COVID-19
"Selain itu, semasa program-program tersebut, penjarakan fizikal sukar dijalankan kerana melibatkan orang ramai, ratusan peserta dan pihak penganjur," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas pengumuman Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Ogos lepas bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sehingga 31 Dis dalam usaha mencegah penularan COVID-19.
Sementara itu, Yeoh turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) ketika berada di luar rumah.
"Pulau Pinang telah mencapai semula status hijau pada 2 September lepas, dan ini adalah satu pencapaian yang tidak harus diambil mudah. Ini bermaksud kita tidak harus leka, untuk mengelakkan kewujudan kes baharu," katanya.
-- BERNAMA
#aktiviti #COVID-19 #Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang #pulau pinang #sambutan perayaan #Yeoh Soon Hin
;