Pulau Pinang bakal terima air terawat dari Perak 10 tahun lagi

Sinar Harian
November 14, 2023 18:13 MYT
Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secara berfasa berikutan di bahagian utara Perak ada keperluan kegunaan pertanian. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Rakyat Pulau Pinang bakal menikmati bekalan air terawat dari Perak dalam tempoh lapan hingga 10 tahun lagi susulan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) telah dipersetujui oleh kerajaan negeri Perak baru-baru ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secara berfasa berikutan di bahagian utara Perak ada keperluan kegunaan pertanian.
Menurutnya, selain itu, pengumuman baru-baru ini pula memaklumkan bahawa utara Perak dipilih menjadi hab industri yang baharu.
"Projek ini dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam hingga 10 tahun dan akan dilaksanakan secara berfasa memandangkan negeri Perak di bahagian utara ada keperluan kegunaan pertanian.
"Tambahan pula pengumuman bahawa utara Perak dipilih menjadi hab industri yang baru, maka bagi Perak ini keperluan yang mendesak. Ini kerana, selagi air tidak ada, selagi itu projek sedemikian tidak dapat dilaksanakan dengan baik," katanya selepas merasmikan Jawatankuasa Jawatankuasa 2023 – 2026 Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA), di sini pada Selasa.
Sebelum ini, kerajaan Perak bersetuju menjual air terawat kepada Pulau Pinang selepas perbincangan antara kedua-dua Setiausaha Kerajaan Negeri berkenaan mencapai kata sepakat.
Mengesahkan perkara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sebuah jawatankuasa bersama ditubuhkan kedua-dua kerajaan negeri untuk mengkaji segala kos sebelum proses memohon peruntukan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bagi pembinaan loji rawatan air di daerah Kerian, utara Perak.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, projek tersebut telah dipersetujui setelah Pulau Pinang menyedari pendirian Perak yang hanya akan menimbang bekalan air terawat dan bukannya air mentah.
"Pulau Pinang menyedari pendirian Perak yang cuma akan menimbang untuk memberikan air terawat dan kita pun membuat pendirian, kita akan minta rundingan atas air terawat (bukannya air mentah).
"Ini kerana, jika kita bertegas masih mahukan air mentah, maka rundingan tidak akan berlaku, persetujuan tidak akan dicapai, dan akhirnya isu masih tidak dapat diselesaikan," katanya.
Ditanya mengenai tarif air terawat itu nanti, beliau berkata, ia tertakluk kepada mekanisme penetapan tarif yang akan diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
"Ia mungkin membabitkan tarif yang perlu ditetapkan dan dipersetujui namun apa pun tarif nanti, ia masih tertakluk kepada mekanisme penetapan tarif yang diputuskan SPAN. Bagi Pulau Pinang, dalam kajian-kajian itu memang sudah tentukan anggaran kos-kos tertakluk kepada jajaran, tertakluk kepada lokasi loji rawatan.
"Sekarang kita tidak perlu kos untuk bina loji, membiayai untuk merawat dan sebagainya kerana kita sebagai pengguna, semestinya tarif akan tinggi sebab ia bukan air mentah. Bagaimanapun, kita tak perlu belanja-belanja lain untuk merawat air.
"Mungkin isu seterusnya yang akan dibincangkan kemudian antaranya tempoh perjanjian projek, tarif akan dikaji semula dan isu lain yang berkaitan," katanya.
Tambah Kon Yeow, beliau telah meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap projek air Perak-Pulau Pinang berikutan Pulau Pinang sebelum ini hanya bergantung kepada satu sumber sahaja iaitu Sungai Muda.
"Projek air Perak-Pulau Pinang adalah satu projek yang saya letakkan sebagai keutamaan yang tinggi kerana air membabitkan nyawa, semua kegiatan ekonomi dan manusia. Jadi dengan adanya jaminan sedemikian, maka langkah seterusnya adalah 'work out of details'.
"Memandangkan ini projek air terawat, maka semua kegiatan berlaku di dalam negeri Perak sehingga air itu dapat disalurkan sampai ke Pulau Pinang. Butiran ini hanya langkah pertama sahaja, banyak lagi butiran yang akan dibincangkan.
"Walaupun sebelum ini memang ada kajian teknikal dilakukan yang melibatkan anggaran kos projek, opsyen-opsyen jajaran, paip-paip dan sebagainya, yang boleh menjadi rujukan kepada rundingan antara dua buah negeri," katanya.
Pada Disember 2021, Saarani berkata, Perak memberi keutamaan kepada keperluan penggunaan air domestik sebelum membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada negeri lain termasuk Pulau Pinang.
Beliau menambah, kerajaan negeri Perak juga tidak membuat sebarang keputusan untuk menjual air mentah kepada Pulau Pinang. - Sinar Harian
#pulau pinang #bekalan air #Ketua Menteri #Chow Kon Yeow
;