Pulau Pinang bakal jadi negeri gigabit pertama

Astro Awani
Mei 11, 2019 16:30 MYT
CHOW: Paling penting, pengguna dapat merasai sambungan Internet yang lebih baik bagi membantu mereka menguruskan keperluan untuk berhubung dengan orang lain dalam eko-sistem mereka. - Astro AWANI
Kerajaan negeri Pulau Pinang mengumumkan Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang sebagai persediaan untuk menuju bandar teknologi tinggi pintar pertama di negara ini.
Menerusi pelan itu, Pulau Pinang dijangka menjadi negeri pertama yang akan menggunakan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan gigabit (GB) bagi semua rangkaian telekomunikasi.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, pelan tersebut selaras dengan hasrat kerajaan negeri memastikan setiap rakyat negeri itu dapat menikmati akses Internet yang pantas serta sebagai persediaan bagi perkhidmatan 5G.
Pelan ini berjaya dirumuskan selepas mesyuarat diadakan pada Sabtu dengan tujuh pengendali syarikat telekomunikasi, termasuk Digi, Celcom, Maxis dan Telekom.
"Paling penting, pengguna dapat merasai sambungan Internet yang lebih baik bagi membantu mereka menguruskan keperluan harian, keperluan komersial dan keperluan industri, untuk berhubung dengan orang lain dalam eko-sistem mereka," kata Chow.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Komtar, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al Ishsal Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digi, Albern Murty,CEO Maxis, Gokhan Ogut; CEO Celcom, Idham Nawawi, dan Ketua Pegawai Teknikal U Mobile, Woon Ooi Yen.
Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang akan membabitkan kerjasama bersama tujuh syarikat telekomunikasi di bawah kendalian Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari.
Sementara itu, Zairil berkata, kerajaan negeri masih belum menyenaraikan rancangan dan projek yang akan dilaksanakan dibawah Pelan Induk Kesalinghubungan Pulau Pinang.
Katanya, pihaknya akan sentiasa bekerjasama rapat dengan tujuh syarikat telekomunikasi terbabit dan mengendalikan mesyuarat bulanan di bawah Jawatankuasa Infrastruktur Telekomunikasi Pulau Pinang.
Selain itu, sebuah Jawatankuasa Pemandu Infrastruktur Telekomunikasi Pulau Pinang juga turut dibentuk, dengan mesyuarat diadakan secara berkala.
#5G #Chow Kon Yeow #gigabit #infrastruktur telekomunikasi #Jawatankuasa Pemandu #Pelan Induk Kesalinghubungan #projek #pulau pinang #syarikat telekomunikasi #Zairil Khir Johari
;