Pulau Pinang anjur ACHA 2024

Bernama
Mac 23, 2024 05:36 MYT
ACHA 2024 bertujuan menyediakan platform aktif untuk profesional penjagaan kesihatan, penyokong penuaan sihat, industri serta komuniti dalam rantau ASEAN. - Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Persidangan Penuaan Sihat ASEAN Ketiga 2024 (ACHA 2024) pada 30 Julai hingga 1 Ogos depan, menawarkan peluang berkongsi, berinteraksi, bekerjasama dan mendapat kemahiran praktikal daripada pakar penjagaan kesihatan golongan berumur dalam semua disiplin.
Bertemakan Ageing Successfully - Equitably, Actively and Naturally, persidangan itu bertujuan membuka jalan bagi memahami dan menangani cabaran ditimbulkan oleh penduduk yang semakin tua.
Pengerusi Penganjur ACHA 2024 yang juga Presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) Prof Dr Shahrul Bahyah Kamaruzzaman berkata persidangan anjuran MHAS itu menyaksikan 22 penceramah antarabangsa, 38 penceramah tempatan dan 500 lebih delegasi mengambil bahagian dalam program selama tiga hari.
"Ketika kita memasuki Dekad Penuaan Sihat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, ACHA 2024 bertujuan menyediakan platform aktif untuk profesional penjagaan kesihatan, penyokong penuaan sihat, industri serta komuniti dalam rantau ASEAN.
"Untuk membentangkan hasil kerja terbaharu, bertemu, berbincang dan menjalin rangkaian dengan rakan sejawatan dari rantau ini dan luar negara bagi berkongsi amalan terbaik dan pengetahuan dalam peningkatan penuaan sihat dan populasi tua di rantau ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Shahrul Bahyah berkata simposium yang memberi tumpuan kepada populasi khas, pengajaran daripada pandemik, kesihatan digital, intervensi gaya hidup serta pelbagai sesi menarik lain turut diatur bagi memaksimumkan peluang pembelajaran.
Menurutnya, penyampaian menerusi ceramah khas, bengkel, seminar dan bengkel prapersidangan membolehkan profesional dan masyarakat terus belajar, meningkatkan dan memperkaya pengetahuan mereka yang akan diterjemahkan kepada penjagaan lebih baik terhadap warga emas.
"Dengan barisan penceramah antarabangsa dan tempatan yang hebat, kami yakin ada sesuatu disediakan untuk semua menghadiri persidangan ini," katanya.
Mengenai kesediaan Malaysia menghadapi populasi menua, Shahrul Bahyah yang juga Profesor Perubatan Geriatrik di Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata negara mula menunjukkan tanda-tanda pelaburan dalam masa depan hari tua.
Shahrul Bahyah berkata usaha terkini kerajaan melalui Bank Dunia untuk mewujudkan rangka tindakan kebangsaan mengenai penuaan adalah satu daripada usaha untuk mempersiapkan diri dan beliau percaya MHAS boleh melakukannya selain menyeru semua kementerian serta pihak berkepentingan untuk mempromosikan agenda negara kita yang menua.
Beliau berkata persidangan ini merupakan satu daripada usaha bertujuan mewujudkan pendidikan, kesedaran dan peluang pembelajaran bagi setiap peringkat profesional penjagaan kesihatan dan disiplin berkaitan serta pihak berkepentingan lain.
"Kami melakukan ini dengan membawa semua pihak berkepentingan berkaitan bersama-sama mewujudkan ekosistem 'mesra umur' dalam sistem dan komuniti penjagaan kesihatan kami," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Kementerian Kesihatan atas sokongan ditunjukkan terhadap ACHA 2024 dan berharap kementerian lain khususnya agensi kerajaan terlibat dalam penjagaan warga emas akan menghantar wakil.
"Perwakilan akan mendapat banyak manfaat yang akan dikongsi oleh penceramah terkenal antarabangsa mengenai pelbagai topik mengenai penuaan," katanya.
-- BERNAMA
#pulau pinang #ACHA 2024 #warga emas #populasi menua
;