Pulau Kukup akan dibuka semula kepada pengunjung selewat-lewatnya Mei ini - Exco

Bernama
April 7, 2024 06:45 MYT
Menurut Ling Tian Soon, Pulau Kukup yang merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong ditutup pada 2019 antaranya kerana jeti di situ dikategorikan tidak selamat. - Gambar fail Bernama
PONTIAN: Pulau Kukup dekat sini akan dibuka semula kepada orang ramai pada hujung bulan ini atau awal Mei depan setelah ditutup lebih empat tahun atas faktor keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata pulau berkenaan yang merupakan destinasi popular dalam kalangan pelancong ditutup pada 2019 antaranya kerana jeti di situ dikategorikan tidak selamat.
Beliau berkata kerajaan negeri telah memperuntukkan RM600,000 untuk membina jeti pelampung sementara selain dana RM2.4 juta melalui Koridor Ekonomi Wilayah Iskandar (IRDA) bagi membaiki kerosakan dan mempertingkatkan kemudahan serta laluan ke pulau itu.
"Kedua-dua projek berkenaan bernilai RM3 juta kini telah siap dan Taman Negara Johor memutuskan untuk membuka semula Pulau Kukup dalam masa yang terdekat bagi membolehkan lebih ramai pelancong dan pencinta alam sekitar ke sini," katanya melalui hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Bagaimanapun katanya pihak Taman Negara Johor akan mengehadkan jumlah pengunjung kerana kapasiti jeti pelampung sementara itu tidak mampu menerima kehadiran besar pelancong secara serentak.
Dalam pada itu Ling berkata Taman Negara Johor menerima peruntukan RM20 juta daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk tujuan pembinaan jeti baharu serta fasiliti lain.
Menurutnya pelancong boleh menikmati suasana hutan bakau di pulau yang berkeluasan 647 hektar itu selain beberapa ruang aktiviti dan tempat swafoto telah ditambah bagi kemudahan pengunjung.
-- BERNAMA
#Pulau Kukup #dibuka semula #Ling Tian Soon #IRDA
;