'Pulau Khurafat' tidak lagi seperti dulu: Mahu cari 'sesuatu'? Carilah keseronokan berekreasi saja!

Rahimah Abdullah
September 6, 2020 14:09 MYT
Pulau Besar sebelum ini pernah digelar dengan bermacam-macam gelaran termasuk 'Pulau Keramat' dan 'Pulau Syirik'. Foto: Rahimah Abdullah/Astro AWANI
MEMANG tidak dinafikan, apabila sebut sahaja Pulau Besar, Melaka, pasti ada yang membangkitkan perkara-perkara mitos dan mistik yang berlingkar sekitar pulau itu.
Benar, Pulau Besar sebelum ini pernah digelar dengan bermacam-macam gelaran termasuk 'Pulau Keramat' dan 'Pulau Syirik' oleh sesetengah orang kerana aktiviti pemujaan dan khurafat yang dilakukan mereka yang terlalu taksub dengan sesuatu kepercayaan.
Malah, tidak dapat dinafikan gelaran itu masih lagi 'melekat' dalam pemikiran sesetengah orang.
Antara perkara yang menyebabkan kedatangan ramai pada suatu masa dahulu ialah kepercayaan bahawa terhadap agamawan, Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail yang disemadikan di pulau itu.
Maka ramailah yang datang ke pulau itu untuk bernazar dengan berbagai-bagai niat termasuk kononnya untuk melariskan perniagaan dan mendapatkan zuriat.
Malah, ada juga yang percaya dengan kewujudan Makam Tujuh Beradik di pulau berkenaan, sehingga ada yang sanggup bertapa dan melakukan aktiviti pemujaan. Mereka yang datang melakukan aktiviti itu pula tidak kira bangsa dan agama, masing-masing dengan niat dan hasrat masing-masing juga.
Namun, dengan usaha dan kempen pencegahan aktiviti khurafat berterusan dilakukan kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), ia memastikan pulau itu dijaga dengan baik dan tidak disalah guna sesetengah pihak.
Sejarah Kubur Sultan Al-Ariffin
Untuk ke pulau ini, orang ramai perlu menaiki bot yang mengambil masa kira-kira 10 minit.
Sejurus sampai di lokasi, sudah dapat dilihat mereka yang berkeluarga sedang beriadah dan ada yang melawat ke lokasi wajib dikunjungi di Pulau Besar ini, iaitu Kubur Sultan Al-Ariffin Syeikh Ismail.
Menurut maklumat Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Sultan Al-Ariffin adalah keturunan ke-18 Rasulullah (S.A.W).
Beliau dikenali sebagai Wali Lanang di Kepulauan Melayu.
Sultan Al-Ariffin meninggal dunia pada 17 Rabiulawal tahun 925H pada usia 58 tahun dan dikebumikan di Pulau Besar.
Justeru, kuburnya menjadi tumpuan ramai kerana sumbangannya dalam mengembangkan agama Islam di seluruh Kepulauan Melayu.
Di sekeliling kawasan makam itu, dapat dilihat papan kenyataan MAIM yang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak melakukan aktiviti khurafat di sekitar perkuburan itu.
Selain kubur Sultan Al-Ariffin, ada juga sebuah lagi kubur seorang agamawan, Syarifah Rodziah yang terletak di kawasan berhampiran.
Apabila meninjau di kawasan ini, didapati tiada lagi aktiviti khurafat yang pernah menjadi bualan ramai sebelum ini seperti.
Namun, tidak dinafikan mungkin ada yang masih ada niat untuk bernazar, namun aktiviti yang dilakukan tidak secara terang-terangan dilakukan.
Mitos Makam Tujuh Beradik
Selain itu, lokasi yang dikatakan kononnya Makam Tujuh Beradik dan menjadi antara tempat pemujaan mereka yang terlibat sebelum ini juga sudah dirobohkan sepenuhnya.
Ia terletak tidak jauh dari Kubur Sultan Al-Ariffin.
Kami turut menemui satu notis pengosongan tanah oleh MAIM di lokasi berkenaan yang bertarikh pada September 2016.
Sebelum ini, lokasi itu dijadikan sebagai wakaf pemujaan oleh sesetengah pihak yang taksub dengan sesuatu kepercayaan.
Namun, ia kini kosong dan tiada lagi colok mahupun barangan pemujaan dilihat di lokasi itu.
Hanya dapat dilihat, beberapa orang yang masih berlegar di kawasan itu, seakan-akan mencari 'sesuatu'.
Pulau Besar Kini Tumpuan Aktiviti Berkhemah
Berbalik kepada aktiviti riadah di pulau ini, ramai pengunjung memilih untuk berkhemah bersama keluarga dan rakan di sepanjang pantai.
Lokasinya memang betul-betul berhadapan dengan kawasan perkuburan.
Aktiviti berkhemah ini semakin rancak di pulau-pulau terutama selepas berakhirnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jika tidak mahu berkhemah, pengunjung juga boleh memilih untuk bermalam di beberapa penginapan chalet yang disediakan.
Aktiviti lain yang boleh dilakukan termasuk memancing, barbeku dan berkelah bersama keluarga.
Perigi 'Penyelamat' Bekalan Air
Namun, apa yang menjadi satu masalah di Pulau Besar ini ialah masalah ketiadaan bekalan air bersih pada satu-satu masa.
Di sini, memang diakui kemudahan tandas dan tempat mandi disediakan.
Bagaimanapun, masalah tiada air tidak dapat dielakkan.
Justeru, perigi yang disediakan sentiasa menjadi 'penyelamat' terutama kepada mereka yang berkeluarga.
Malah, sumber air perigi ini juga digunakan pemilik premis kedai makan di sini untuk operasi perniagaan mereka.
Terdapat beberapa perigi lain yang masih berfungsi dengan baik di pulau ini.
Selain itu, banyak lagi sebenarnya mitos-mitos yang turut diceritakan penduduk yang ditemui.
Antaranya, kewujudan Keramat Masin Tawar, Gua Yunus dan Tasik biawak.
Namun, memang diakui mungkin ada yang masih rasa takut-takut untuk ke Pulau Besar bagi tujuan riadah dan lokasi ini mungkin tiada dalam senarai destinasi pelancongan mereka.
Nasihat, jangan takut, sebaliknya percayalah dengan kekuasaan Allah dan tidak terlalu taksub kepada aktiviti yang menjurus kepada khurafat!

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#air #keluarga #operasi #pelancongan #perintah kawalan pergerakan #PKP #Pulau Besar Melaka #Pulau Keramat #shm #weekender
;