Pulau Bangau gamit kedatangan pelancong dalam, luar negara
Bernama
Disember 25, 2023 17:02 MYT
Disember 25, 2023 17:02 MYT
TELUK INTAN: Teluk Intan atau suatu masa dahulu dikenali sebagai Teluk Anson begitu sinonim dengan menara condong yang menjadikan bandar itu sering menjadi destinasi persinggahan para pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara.
Di sebalik mercu tanda tersebut, bandar ketiga terbesar di Perak itu kini menawarkan tarikan baharu ekopelancongan iaitu Pulau Bangau, yang menjadi habitat kepada lebih 30,000 ekor burung pelbagai spesies.
Pengurus River Cruise Teluk Intan, Muhammad Sahril Mustafa, 35, berkata pulau yang terletak di Sungai Perak dan seluas kita-kira enam hektar itu digelar sebagai Pulau Bangau ekoran terdapat lebih 10 spesies bangau mendiami kawasan tersebut, selain beberapa jenis burung lain.
"Antara spesies bangau yang ada di sini adalah seperti bangau besar, bangau batu, bangau bakau, bangau Cina, bangau kendi, bangau kerbau, bangau paya, Little Egret, Cattle Egret dan Egret Meageret selain burung lain seperti helang, raja udang dan enggang.
"Menariknya, ada di antara spesies itu merupakan burung hijrah (dari India dan Thailand) yang bukan sahaja menjadikan lokasi ini sebagai persinggahan semata-mata, malah untuk proses pembiakan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.
Anak jati kelahiran Teluk Intan itu berkata antara faktor menyebabkan pulau berkenaan menjadi habitat kepada pelbagai spesies burung berkenaan adalah kerana lokasi tersebut jauh daripada manusia, selain mempunyai sumber makanan yang mencukupi.
Beliau berkata lazimnya, burung berkenaan akan keluar kira-kira 5.30 pagi untuk mencari makanan di kawasan bendang yang terletak di sekitar Teluk Intan sehingga Seberang Perak sebelum pulang ke sarang pada 6.30 petang.
"Lokasi ini juga menjadi pilihan burung kerana kedudukannya yang strategik iaitu di tengah-tengah sungai yang sukar diceroboh manusia," kata bapa kepada dua anak itu.
Muhammad Sahril berkata proses pembiakan kebanyakan spesies burung tersebut pula berlaku sekitar Mei hingga Ogos serta November hingga Mac setiap tahun.
Katanya perkara itu berdasarkan kajian yang dilakukan Universiti Malaya dengan kerjasama pelbagai agensi di peringkat kerajaan negeri.
Muhammad Sahril berkata selain dikenali dengan habitat pelbagai spesies burung, terdapat kira-kira 18 lokasi lain di sepanjang sungai tersebut yang mampu memukau mata para pengunjung.
"Dengan menyusuri sungai ini, kita boleh lihat serombong kapal stim tenggelam, kilang kapal kayu nelayan laut, ternakan sangkar ikan, tokong besar Buddha dan feri Pulau Rawa. Setiap daripada lokasi ini mempunyai cerita dan sejarahnya yang tersendiri," katanya.
Beliau berkata para pengunjung yang ingin menyusuri serta melihat lokasi berkenaan dengan lebih dekat, pihaknya ada menawarkan pelbagai pakej menarik bermula pada harga RM18 hingga RM50 mengikut usia.
Sementara itu, pelancong dari Kedah, Razali Isa, 35, berkata kunjungan kali pertamanya ke pulau berkenaan memahat memori serta pengalaman menarik yang sukar diperoleh di tempat lain.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata sebelum ini beliau hanya mengetahui tentang kewujudan pulau tersebut melalui platform media sosial dan mengakui, perjalanan jauh yang ditempuh untuk ke Pulau Bangau adalah amat berbaloi.
"Paling mengujakan apabila berpeluang melihat sekumpulan burung berterbangan dengan berlatarbelakangkan pemandangan hijau yang terdapat di sekitar pulau itu," kata Razali yang berasal dari Sungai Petani.
Seorang pelancong dari Johor, Chee Wan Chai, 40, pula berpendapat Pulau Bangau merupakan lokasi wajib dikunjungi para pelancong terutama kepada mereka yang berkeluarga.
Katanya selain burung, banyak lokasi menarik lain seperti serombong kapal stim tenggelam, tokong Buddha dan sebagainya yang mempunyai nilai sejarah serta kisah tersendiri.
"Bagi saya, nilai-nilai sejarah ini amat penting diketahui terutama oleh anak-anak kerana ia sedikit sebanyak mampu menambahkan pengetahuan, pada masa yang sama menerbitkan rasa cinta terhadap khazanah alam," katanya yang berasal dari Johor Bahru.
-- BERNAMA