'Pulanglah..' - 26 tahun hilangkan diri, adik rayu kepulangan abang
Sinar Harian
Jun 23, 2019 09:19 MYT
Jun 23, 2019 09:19 MYT
Seorang wanita di Felda Pasak di sini sedang mengesan abang kandungnya yang menghilangkan diri selama 26 tahun.
Siti Zawiyah Ihsan, 53, berkata, abang sulungnya, Amat Yunus, 59, yang ketika itu berusia 33 tahun tidak pulang ke rumah dipercayai kerana merajuk selepas dimarahi bapa mereka.
Menurutnya, usaha menjejaki abangnya telah dilakukan ahli keluarga, namun sehingga kini hampa dan tidak membuahkan sebarang hasil.
"Masa tu ada perselisihan sedikit antara abang dengan ayah. Oleh kerana itu mungkin dia terasa hati dan merajuk menyebabkan dia tidak balik ke rumah.
"Kebiasaannya dia akan balik pada waktu malam, namun terus tak balik sejak kejadian itu sehinggalah sekarang," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, bapanya antara orang yang mencari abangnya kerana rindu begitu juga ibu dan adik-beradik lain.
Katanya, ada kenalan abangnya yang memaklumkan melihat Amat di Pulau Pinang dan beberapa kawasan lain, namun apabila dijejaki tidak membuahkan hasil.
"Sekarang ayah pun sudah uzur mak pula dan mula tidak ingat banyak lupa ekoran faktor usia. Jika boleh kami amat berharap dapat jumpa balik dengan abang merupakan darah daging kami.
"Setiap kali takbir raya kami sekeluarga pasti teringat akan abang yang entah di mana keberadaanya. Pulanglah abang.." katanya.
Orang ramai yang mengenali abangnya boleh berhubung dengan Siti Zawiyah di talian 0137268893.