'Pulangkan semula suami saya' - Isteri Amri Che Mat
Astro Awani
April 5, 2019 23:03 MYT
April 5, 2019 23:03 MYT
“Tidak kisah suami saya pulang ke pangkuan keluarga dalam keadaan baik atau sebaliknya, yang penting serahkan semula Amri kepada kami.”
Itu nada yang disuarakan isteri kepada Amri Che Mat, Nurhayati Mohd Arifin, 46 tahun ketika ditemui krew Astro AWANI di kediamannya di Padang Behor, Kangar.
Nurhayati sangat berharap agar kes itu dibuka semula memandangkan pelbagai keraguan timbul terutama wujudnya penglibatan pihak polis dalam misteri kehilangan suaminya.
Siasatan secara telus dan adil harus dijalankan, tanpa mengira siapa pun yang terlibat walaupun pihak berkuasa seperti polis.
Tegasnya, jika suaminya itu benar-benar bersalah, biarlah dia didakwa di bawah undang undang dan peruntukan yang sedia ada, bukannya ‘menghilangkan’ suaminya seperti itu.
"Sebelum ni saya rasa dia ada. Memang ada. Tapi setelah dua tahun lebih, saya dah tak dapat rasa. Saya tak tahu macam mana keadaan sekarang. Saya memang mohon, demi anak-anak, pulangkanlah dia balik walau apapun (keadaannya).
“Berilah kami berita yang sebenarnya. Kalau dia masih ada, pulangkan kepada kami. Kalau dia tak ada pun kami dah redha dan tawakal. Tapi tolong maklumkan perkara yang sebenar.
“Memang satu yang sangat kejam, tterlalu kejam. Apa yang mereka nak sebenarnya? Kalau betul Amri bersalah, hukumlah dia dengan cara yang betul. Kita ada undang-undang, kalau perlu dibicarakan, bicarakan.
“Siasatlah secara berani, kita ada undang-undang. Buat apa ambil macam tu kan, ni satu kerja yang pengecut,” ujar Nurhayati.
Sementara itu, jelasnya, dirinya telah melalui fasa-fasa kehidupan yang sukar untuk membesarkan empat anak perempuan yang berusia antara 12 hingga 21 tahun, berseorangan tanpa suami di sisi.
Ruang privasi dirinya turut diganggu apabila mendakwa wujudnya intipan serta perbualan telefon ibarat digodam dan didengari orang lain.
“Sudah dua tahun lebih keadaan kami. Memang sukarlah untuk jalani kehidupan dengan anak-anak. Ayah dia memang rapat dengan anak semua. Lagipun nak besarkan anak-anak yang masih kecil bukan satu perkara yang mudah, dengan (kos sara hidup) sekarang dah tinggi.
“Bila kita bercakap, ada orang lain dengar. Macam kawan-kawan pun, (seperti) ada orang ikut. Rumah saya pun saya perasan ada yang tengok (intip), ada yang duduk dari jauh memerhatikan,” dakwanya.
Rabu lalu, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui inkuiri awal sejak Oktober 2017 merumuskan bahawa pihak polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab atas kehilangan Raymond Koh dan Amri Che Mat.
Panel Suhakam turut mendakwa kes kehilangan tersebut bukannya secara sukarela namun secara paksaan yang melibatkan campur tangan ejen-ejen khas.
#Amri Che Mat
#anggota polis cawangan khas
#kehilangan paksa
#keraguan mahkamah
#nurhayati mohd arifin
#perbicaraan mahkamah
#Suhakam