Pulang semula surat jika tidak guna Bahasa Kebangsaan - PM Anwar

Hilmi Malik
Oktober 25, 2023 14:23 MYT
Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di Universiti Multimedia, Cyberjaya hari ini. - Foto Bernama
CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan kepada jabatan kerajaan agar tidak melayan sebarang surat yang diutus selain daripada Bahasa Kebangsaan.
Tegas Anwar, beliau turut mengarahkan agar surat itu dipulangkan semula jika arahan itu gagal dipenuhi tidak kira sama ada dari sektor swasta mahupun kerajaan.
“Kalau dalam kalangan syarikat tempatan, universiti tempatan atau swasta arahannya ialah siapa sahaja menulis selain daripada Bahasa Kebangsaan surat itu akan dipulangkan. Pemerkasaan budaya melalui bahasa sasteranya itu sesuatu yang penting.
“Kadang-kadang ada kekeliruan, memang kita tekankan dalam bahasa perdagangan, antarabangsa ialah Bahasa Inggeris tetapi ada sikap yang saya rasa terpesong dari beberapa jabatan yang sering kali cuba tinggalkan asas perlembagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU) di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menggesa Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) agar terus bergerak ke arah memperkasakan Bahasa Melayu.
Ujar Anwar, kerajaan akan sentiasa memberi sokongan terhadap usaha yang menjadi sebahagian daripada objektif Kerajaan Madani.
Selain itu, beliau turut mengiktiraf sumbangan daripada sasterawan negara yang sememangnya mempunyai kepakaran tersendiri dalam mengolah Bahasa Kebangsaan.
Namun karyawan itu perlu diwarisi oleh generasi anak muda menerusi iltizam membaca bagi memperhalusi Bahasa Melayu dengan lebih mendalam.
#Anwar Ibrahim #Perdana Menteri #Bahasa Melayu #bahasa kebangsaan #DBP
;