Pulang ke rumah selepas banjir, berhati-hatilah...

Nur Fazlizai Ali
Disember 10, 2020 16:12 MYT
Penduduk khususnya mangsa banjir diingatkan supaya jangan mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan haiwan berbisa tersebut. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Awas tetamu tidak diundang, menumpang kediaman selepas banjir melanda.
Itu antara peringatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu kepada penduduk yang terjejas menerusi gelombang banjir yang melanda negeri itu.
Pengarahnya Md Hilman Abd Rashid berkata, pelbagai haiwan berbisa akan mencari tempat perlindungan baharu selepas habitatnya dilanda bah.
Justeru Md Hilman mengingatkan mangsa banjir yang telah kembali ke rumah masing-masing berwaspada terhadap ancaman haiwan berbisa yang menyelinap masuk ke dalam kediaman
“Apabila musim banjir berlaku, ular-ular ini akan mencari tempat untuk berlindung dan ia akan cari rumah-rumah orang. Oleh itu, semasa kita berpindah ke pusat pemindahan dan apabila kita balik nanti kita perlu berhati-hati.
“Kita takut nanti apabila kita buka pintu, ada binatang berbisa seperti ular,” ujar Md Hilman.
Beliau berkata, haiwan berbisa seperti ular dan kala jengking gemar bersembunyi di kawasan yang dingin.
Tambahnya, penghuni rumah yang ditenggelami air perlu memeriksa dengan lebih teliti terutamanya di tempat yang tersorok serta terlindung dari pandangan.
Penduduk juga digalakkan mengambil langkah berjaga-jaga ketika membersihkan rumah dan jangan mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan haiwan berbisa tersebut.
Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak seminggu lalu lalu pulih sepenuhnya selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing pada Rabu.
#haiwan berbisa #ular #kala jengking #lipan #mangsa banjir #bomba #JBPM #Pusat Penempatan Sementara
;