Pulang ke kampung Tahun Baharu Cina nanti? Ini cadangan waktu perjalanan buat anda

Asyraf Roslan
Januari 18, 2020 13:31 MYT
Jika anda pulang ke kampung, pastikan anda merancang perjalanan anda sebaiknya - Foto BERNAMA
Perayaan Tahun Baharu Cina sudah hampir tiba, dan sudah semestinya ramai diantara anda yang merancang untuk pulang ke kampung atau bercuti bersama yang tersayang.
Sempena cuti perayaan tahun ini PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan trafik daripada 1.7 juta kenderaan pada hari-hari biasa kepada 2 juta kenderaan setiap hari.
Bagi menghadapi peningkatan trafik tersebut, PLUS telah merangka pelbagai pendekatan bagi membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa termasuk mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi membantu orang ramai merancang perjalanan mereka.
Pada masa sama, bagi melancarkan perjalanan anda untuk pulang ke kampung halaman, PLUS turut mengambil pendekatan bagi menghentikan sementara kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan di lebuh raya di antara 22 Januari hingga 2 Februari 2020.
PLUS juga turut menyediakan kren dan trak tunda di lokasi strategik di lebuh raya.
Bagi memastikan keselamatan pelanggan terutama pada waktu puncak ini, PLUS akan mempertingkatkan kolaborasi bersama pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia, pasukan bomba dan penyelamat, ambulans, Jabatan Pertahanan Awam dan pasukan RELA disamping meningkatkan jumlah kakitangan PLUS untuk bersiap sedia memberikan bantuan kecemasan sepanjang musim perayaan tersebut.
Lebih banyak tandas awam tambahan dan tangki air bergerak juga akan disediakan di beberapa lokasi di lebuh raya, termasuk menyediakan 70 kiosk tambah nilai layan diri (mesin SSK) bagi menampung jumlah trafik yang meningkat.
Jadi kepada anda yang ingin pulang ke kampung halaman, rancang perjalanan anda dengan sebaiknya dan pastikan anda memandu dengan berhati-hati.
#keselamatan #kesesakan lalu lintas #PLUS #Tahun Baru Cina
;