Pulang berhari raya bersama AirAsia? Ini fakta menarik musim perayaan

Astro Awani
Mei 23, 2019 21:26 MYT
Pada 1 Syawal nanti, 734 penerbangan AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia akan berlepas dari hab di Malaysia - Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Johor Bahru.
MUSIM perayaan bakal menjelma tidak lama lagi dan semestinya ramai yang sudah tidak sabar untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Ada yang akan memandu kereta, ada yang akan menggunakan mod pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, ada juga yang mahu terbang menggunakan pesawat.
Di musim perayaan ini, lapangan terbang antara hab pengangkutan yang sering menjadi tumpuan orang ramai untuk pulang berhari raya, manakala perjalanan tambang rendah (low cost travel) menjadi pilihan rakyat Malaysia khususnya.
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia salah sebuah syarikat penerbangan yang mengendalikan hampir 90 peratus operasi penerbangan di terminal berkenaan.
HARI RAYA BERSAMA AIRASIA
Tempoh perjalanan puncak dijangka bermula seawal 24 Mei ini dan akan berlanjutan sehingga 10 Jun 2019.
Demi kelancaran operasi penerbangan di musim perayaan, ribuan kakitangan AirAsia akan bertungkus-lumus memastikan keselesaan penumpang terjamin ketika terbang bersama AirAsia.
Pada 1 Syawal nanti (5 Jun 2019), sebanyak 734 penerbangan AirAsia Malaysia dan AirAsia X Malaysia akan berlepas dari hab di Malaysia - Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Johor Bahru.
Ini akan melibatkan lebih 1,000 juruterbang dan 2,500 anak kapal bagi kedua-dua AirAsia dan AirAsia X bertugas pada 1 dan 2 Syawal (5 dan 6 Jun 2019).
Manakala bagi kakitangan perkhidmatan penumpang di terminal klia2, seramai 380 kakitangan sehari akan bertugas bagi tempoh yang sama.
Sepanjang musim perayaan, dijangka seramai 50,000 penumpang akan berlepas setiap hari dari klia2.
Bagi memeriahkan lagi suasana Hari Raya, krew AirAsia Fun Team akan membuat persembahan istimewa ketika di udara dalam penerbangan domestik terpilih antara 1 Jun - 15 Jun 2019.
DESTINASI TUMPUAN DI HARI RAYA
Beberapa destinasi popular menjadi tumpuan orang ramai yang pulang ke kampung untuk menyambut ketibaan Syawal mahupun bercuti di luar negara.
Laluan domestik popular merangkumi Kuala Lumpur - Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Tawau, dan Sandakan.
Laluan antarabangsa popular bagi AirAsia Malaysia termasuk Kuala Lumpur - Bangkok, Chennai, Denpasar, Singapura dan Ho Chi Minh.
Manakala laluan antarabangsa popular bagi AirAsia X termasuk Kuala Lumpur - Hokkaido, Gold Coast, Taipei, Jeju dan Fukuoka.
Bagi menampung trafik penumpang tinggi di musim perayaan, AirAsia turut menyediakan penerbangan tambahan pada tambang tetap untuk balik kampung melibatkan lebih 115,000 tempat duduk.
BACA: AirAsia tawar penerbangan tambahan, tambang tetap untuk balik kampung
Tambah rendah tetap tersebut bermula hanya RM99 dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor Bahru, RM149 dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak, manakala ke Sabah pula adalah RM199 antara 31 Mei dan 17 Jun ini.
AirAsia juga akan menawarkan tambang rendah untuk laluan terpilih ke Sabah dan Sarawak untuk perjalanan antara 27 Mei dan 30 Mei 2019.
HIDANGAN HARI RAYA DI UDARA
Nikmati hidangan istimewa Aidilfitri di paras 30,000 kaki di musim perayaan ini dengan Nasi Padang bersama kerepek udang. Hidangan popular dari Padang, Indonesia ini disajikan dengan nasi putih, rendang daging, daun cassava goreng, ikan bilis balado dan sambal hijau.
Kemudian, tetamu boleh nikmati hidangan pencuci mulut terbaharu AirAsia, Burnt Cheesecake yang disajikan bersama krim vanila.
#AirAsia #AirAsia Fun Team #Airasia X #destinasi popular #hab pengangkutan #hari raya #hidangan istimewa #Juruterbang #KLIA2 #krew AirAsia #lapangan terbang #penerbangan #penumpang #persembahan istimewa #pesawat #tambah rendah
;