Pukul pengawal peribadi berpuasa: PDRM dalam proses sita harta suspek

Astro Awani
April 18, 2021 18:17 MYT
Perintah reman terhadap suspek berumur 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret Klang. - Gambar/ Bernama
SHAH ALAM : Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses untuk menyita harta suspek utama kes memukul dua pengawal peribadi kerana berpuasa, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata selain kesalahan mencederakan mangsa, Bukit Aman juga menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
"Kita (Polis Selangor) hari ini mendapat perintah reman selama lima hari terhadap suspek utama itu.
"Siasatan masih diteruskan terutama mengenai sama ada suspek itu terbabit dengan aktiviti kumpulan kongsi gelap atau tidak.
"Saya difahamkan memang kita (Bukit Aman) dalam proses untuk menyita harta dan sebagainya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Ahad.
BACA: Pukul pengawal peribadi: Kertas siasatan dirujuk pejabat Peguam Negara Isnin ini
BACA: Suspek kes pukul pengawal peribadi kerana berpuasa tidak diberi layanan istimewa
Terdahulu, perintah reman terhadap suspek berumur 44 tahun itu dikeluarkan Majistret Nur Atikah Zakaria di Mahkamah Majistret Klang.
Permohonan reman dilakukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324, 506, 298 dan 307 Kanun Keseksaan masing-masing kerana mendatangkan kecederaan, melakukan ugutan, menghina Islam dan cubaan membunuh.
Tiada layanan istimewa suspek pukul pengawal peribadi
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan dua pengawal peribadi cedera dipercayai selepas dipukul majikan mereka gara-gara berpuasa, di sebuah premis di Klang, pada Selasa malam.
Berikutan laporan mangsa, polis yang menjalankan siasatan menahan lima suspek termasuk majikan mereka, sekali gus membongkar aktiviti sindiket perjudian dalam talian, pengubahan wang haram dan along.
Polis merampas 100 jongkong emas seberat 100 kilogram selain 12,500 keping wang kertas AS$100 dengan nilai keseluruhannya mencecah RM28.45 juta.
Juga dirampas, pistol serta rotan dipercayai digunakan suspek untuk memukul mangsa dalam kejadian itu.
#pukul pengawal peribadi #berpuasa #majikan #sindiket #Bukit Aman #sita harta #suspek #jongkong emas #perjudian dalam talian #along #ceti haram #arjunaidi mohamed
;