Pukul penganggur di Low Yat, tiga pekerja kedai telekomunikasi didenda

Bernama
Ogos 10, 2015 15:33 MYT
Majistret Muhamad Faizal Ismail turut memerintahkan Low Leong Seng, 29, Eric Chan Weng, 23, dan Soo Weng Hing, 26, dipenjara dua bulan, jika mereka gagal membayar denda itu. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Akibat memukul dan mencederakan seorang penganggur disyaki mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, tiga pekerja kedai telekomunikasi hari ini didenda RM1,800 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Muhamad Faizal Ismail turut memerintahkan Low Leong Seng, 29, Eric Chan Weng, 23, dan Soo Weng Hing, 26, dipenjara dua bulan, jika mereka gagal membayar denda itu. Ketiga-tiga tertuduh membayar denda itu.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencederakan Shahrul Anuar Abdul Aziz, 22, di Tingkat G, Bangunan Plaza Low Yat, Dang Wangi pada 4.57 petang, 11 Jun lepas.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, Mohamad Khairul Azmi Mazlan, 22, pengadu dalam kes ini, pergi ke sebuah kedai telefon di bangunan itu bersama-sama mangsa, Shahrul Anuar untuk mengesan telefon bimbit pengadu yang hilang, namun mereka gagal menjumpainya.
Mereka kemudiannya beredar dan ketika Mohamad Khairul berada di tangga bergerak di tingkat G, beliau terdengar orang menjerit 'Tahan-tahan...tangkap-tangkap...ada orang curi telefon'.
Mohamad Khairul kemudiannya melihat Shahrul Anuar dipukul oleh tiga lelaki dan dia yang cuba menyelamatkan rakannya itu turut dipukul dan dituduh bersubahat dengan Shahrul Anuar.
Shahrul Anuar kemudiannya ditangkap kerana disyaki mencuri telefon bimbit manakala Mohamad Khairul dilepaskan selepas mendapati dia tidak terlibat dalam kes itu.
Ketika rayuan, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.
BACA: Gaduh Low Yat: Penulis blog Papa Gomo dibebaskan dari tahanan polis
BACA: Insiden Low Yat: 'Semua pihak hanya ingin cari sesuap nasi'
Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan alasan kes itu mendapat perhatian di seluruh negara dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.
Pada 14 Julai lepas, Shahrul Anuar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mencuri sebuah telefon bimbit di Plaza Low Yat.
Tertuduh, yang tidak mengaku bersalah, dibenarkan diikat jamin RM3,000 dan 14 Ogos ditetapkan untuk sebutan semula kes.
#Eric Chan Weng #Low Leong Seng #Mahkamah Majistret #Plaza Low Yat #Soo Weng Hing
;