Pukul dua beradik: Tiga lelaki ditahan

Sinar Harian
Julai 3, 2023 12:28 MYT
Suspek warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar Bandar Selesa Jaya, Taman Setia Tropika dan Kangkar Pulai antara jam 2.50 hingga 5.45 petang. - Gambar hiasan
ISKANDAR PUTERI: Tiga lelaki ditahan kerana disyaki memukul dua beradik di sekitar kawasan Kangkar Pulai di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia lingkungan 27 hingga 32 tahun itu ditahan di sekitar Bandar Selesa Jaya, Taman Setia Tropika dan Kangkar Pulai antara jam 2.50 hingga 5.45 petang.
Menurutnya, kejadian berlaku, ketika mangsa yang memandu kereta menuju ke rumah abangnya dihimpit serta diekori rapat oleh sebuah kenderaan dinaiki tiga suspek terbabit.
"Apabila mangsa berusia 37 tahun sampai di hadapan rumah abangnya berumur 43 tahun, ketiga-tiga suspek terus turun dari kereta lalu menolak mangsa sehingga jatuh dan berlaku kekecohan.
"Salah seorang daripada suspek mengambil sebatang besi dari kenderaannya lalu memukul mangsa di bahagian kepala hingga menyebabkan luka di bahagian kiri kepala dan belakang telinga," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Rahmat menambah, abang mangsa juga dipukul menggunakan tangan oleh suspek tetapi tidak mengalami kecederaan.
Katanya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapat rawatan susulan.
"Semakan terhadap nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek mendapati pemilik kereta tersebut adalah seorang wanita dan dipercayai digunakan oleh teman lelakinya.
"Sebatang besi panjang dan sebuah kereta turut dirampas," ujarnya.
Beliau memberitahu, hasil pemeriksaan mendapati salah seorang suspek memiliki dua rekod jenayah lampau.
"Kesemua suspek akan ditahan reman bermula hari ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan," katanya. - Sinar Harian
#pukul dua beradik #Tular #Kangkar Pulai #Johor
;