Pukul, cekik dan lempar anjing: Mahkamah keluar waran tangkap ke atas lelaki
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 4, 2021 12:35 MYT
Januari 4, 2021 12:35 MYT
BUTTERWORTH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengeluarkan waran tangkap ke atas seorang lelaki yang didakwa melakukan kesalahan menganiaya anjing peliharaannya pada Mac tahun lalu.
Waran tangkap tersebut dikeluarkan selepas tertuduh berusia 51 tahun gagal hadir pada perbicaraan kes yang berlangsung hari ini.
Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, pihaknya dimaklumkan, tertuduh yang bekerja sambilan tidak dapat hadir kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya semalam dan mengalami kecederaan, namun memberitahu akan menghantar wakilnya.
Bagaimanapun, wakilnya juga gagal hadir menyebabkan Pegawai Pendakwa Roziman Awang Tahrin memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh.
Hakim Noor Aini Yusof kemudiannya membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 4 Feb depan.
Dalam kejadian pada 16 Mac tahun lalu, tertuduh dipercayai menganiaya anjing peliharaannya dengan memukul, mencekik dan melemparkan haiwan itu ke dinding hingga mengalami kesakitan di rumahnya di Taman Sentosa, Nibong Tebal.
Kejadian lebih kurang jam 11. 25 pagi itu disedari jiran di belakang rumahnya yang kemudian mengambil video dan melaporkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut.
Pihak JPV kemudian ke lokasi untuk membuat siasatan dan menyelamatkan anjing baka tempatan berwarna putih itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya.
#aniaya anjing
#mahkamah
#Butterworth
#Jabatan Perkhidmatan Veterinar
#waran tangkap
#gagal hadir
#anjing
#kemalangan