Ringkasan AI
- Mahkamah Majistret membenarkan tahanan reman selama enam hari terhadap seorang penjaga pusat jagaan anak yatim di Kulai untuk membantu siasatan insiden memukul kanak-kanak perempuan menggunakan kayu.
- Suspek berusia 59 tahun itu disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. Kejadian berlaku pada Oktober lalu dan tular di Facebook melalui rakaman video.
- Suspek juga terlibat dalam kes rogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di rumah anak yatim tersebut dan telah direman untuk siasatan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Arina Azmin Ahmad Marzuki terhadap suspek berusia 59 tahun itu mulai Rabu hingga Isnin depan.
Menurut Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee, permohonan reman ke atas lelaki berusia 59 tahun itu dibuat bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Terdahulu, Seng Lee pada Isnin mengesahkan menerima laporan berhubung perkara tersebut pada jam 10.29 malam Ahad.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku di sebuah pusat jagaan swasta di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dipukul dengan kayu oleh seorang lelaki yang juga penjaga rumah anak yatim tersebut pada Oktober lalu.
Kejadian yang tular di Facebook menerusi satu rakaman video tular berdurasi 56 saat itu menyaksikan lelaki berkenaan terus memukul kanak-kanak perempuan terbabit dengan disaksikan beberapa lagi kanak-kanak lain, walaupun mangsa kelihatan sudah memohon maaf.
Difahamkan, suspek juga terlibat dalam kes rogol seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga penghuni rumah anak yatim itu, direman mulai 30 November hingga semalam, bagi siasatan bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian