Pukul bekas penyelia kerana tidak puas hati sering ditegur

Bernama
Ogos 27, 2024 17:17 MYT
Polis menahan tiga lelaki tempatan termasuk seorang remaja berusia 16 tahun di dua lokasi di Puchong, Selangor iaitu Bandar Bukit Puchong dan Taman Putra Perdana pada Ahad lepas.
KUALA LUMPUR: Tidak berpuas hati akibat sering ditegur dipercayai menjadi punca seorang penyelia syarikat dipukul sehingga parah di sebuah asrama pekerja di Taman Ampang Utama di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata pihaknya menerima laporan daripada pengarah syarikat mangsa pada Sabtu lalu yang mendakwa lelaki berusia 28 tahun itu dipukul di kepala dan tangan sehingga tidak sedarkan diri.
Kejadian menyebabkan mangsa yang merupakan warga tempatan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Ampang di sini.
Susulan itu, Mohd Azam berkata pihaknya menahan tiga lelaki tempatan termasuk seorang remaja berusia 16 tahun di dua lokasi di Puchong, Selangor iaitu Bandar Bukit Puchong dan Taman Putra Perdana pada Ahad lepas.
"Suspek pertama berusia 21 tahun yang pernah bekerja dengan mangsa dan dikatakan tidak berpuas hati kerana mangsa sering menegurnya atas masalah disiplin selain turut melaporkan kehilangan kabinet di asrama suspek tinggal kepada pihak pengurusan.
"Dua lagi suspek berusia 16 dan 24 tahun pula dipercayai membantu suspek pertama untuk memukul mangsa dengan siasatan awal mendapati kesemua suspek positif dadah," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Remaja terlibat didapati hanya bersekolah setakat tingkatan dua dan kini bekerja di kedai makan.
Mohd Azam berkata polis memperoleh perintah reman tujuh hari bermula semalam terhadap suspek berusia 21 dan 24 tahun, manakala remaja terlibat direman sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
#penyelia dipukul #asrama pekerja #polis #ICU #remaja
;