Pukau dan samun warga emas, dua wanita warga China ditahan

Adie Sufian Zulkefli
April 14, 2023 15:37 MYT
Semua suspek ditahan menerusi Op Gagak yang digerakkan selepas sepasukan pegawai dan anggota mengekori kereta suspek di Simpang Kuala Alor Setar. - Foto PDRM
ALOR SETAR: Polis menahan dua wanita warga China bersama seorang lelaki tempatan selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan menyamun secara pukau di sekitar bandar raya Alor Setar.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, semua suspek ditahan menerusi Op Gagak yang digerakkan pada 11.45 pagi, selepas sepasukan pegawai dan anggota mengekori kereta mereka di Simpang Kuala di sini.
Katanya, operasi ini dilakukan berikutan satu laporan polis dibuat seorang suri rumah lingkungan usia 70 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar yang kerugian hampir RM110,000 baru-baru ini.
"Ketiga-tiga kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk tindakan lanjut.
“Siasatan awal membawa kepada pengakuan suspek lelaki tempatan berusia 24 tahun yang mengaku bertindak sebagai pemandu kepada dua wanita warga China yang berusia 47 dan 55 tahun yang menjalankan aktiviti penipuan secara pukau bersemuka dengan menyasarkan warga emas," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Wan Hassan berkata, polis merampas seutas jam tangan jenama Rolex, dua utas rantai leher dan sebentuk cincin perak disyaki emas putih, tujuh pasang subang emas, enam utas rantai leher, empat utas gelang kaki emas dan lima bentuk cincin emas.
Turut dirampas, bar bertulisan disyaki emas, sepasang subang perak, empat loket emas serta wang tunai bercampur-campur bernilai RM1,667, berserta wang tunai mata wang Yuan China bernilai 700 yuan, mata wang Hong Kong bernilai 1,000, beg silang biru serta tiga telefon bimbit dan sebuah kereta Honda City," katanya.
Katanya lagi, sindiket itu dipercayai aktif sejak dua bulan lalu dengan menyewa kenderaan di sekitar bandar raya bertujuan sukar dikesan polis.
“Modus operandi mereka dengan mengenal pasti mangsa di sekitar pasar pagi dan berpura-pura meminta bantuan kewangan dengan alasan mempunyai saudara yang sakit.
"Mereka akan mendorong mangsa untuk menyerahkan wang, barang kemas atau barangan berharga dan menjanjikan pulangan semula yang lumayan sebagai balasan terhadap bantuan diberikan.
"Bagaimanapun sewaktu pemulangan semula bantuan terbabit, mangsa mendapati hanya terdapat air mineral dan garam yang diletakkan dalam sampul," ujarnya.
Wan Hassan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
#samun pukau #warga china #Bandaraya Alor Setar #Op Gagak
;